Laman Utama
Jasa Terakhir Seorang Ketua, ACP Nik Ezanee Turun Ke Liang Lahad Uruskan Jenazah Anggota
Tindakan seorang ketua yang berkhidmat dan membantu pekerja bawahannya hingga ke hujung nyawa wajar dijadikan contoh.
Begitulah sifat terpuji Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Tuan Nik Ezanee Mohd Faizal yang turun ke dalam liang lahad bagi membantu mengebumikan jenazah anggotanya, Allahyarham Sarjan Mejar Mashadi Hissain yang meninggal dunia.
Difahamkan Allahyarham Mashadi, 53, meninggal pada 16 Februari lalu akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak 19 tahun lalu.
Arwah meninggal dunia di rumahnya di Desa Aman, Pantai Dalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam.
Menerusi laman sosial Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, sekeping foto Nik Ezanee lengkap beruniform sedang menguruskan jenazah Allahyarham mendapat pujian ramai wargamaya.
“Syukur Alhamdulillah. Tahniah & Terbaik OCPD PJ@Tuan Nik Ezanee. Walaupun pangkat tinggi tapi tetap suka merendah diri. Good job tuan,” puji seorang wargamaya.
“Tahniah tuan ACP, akhlak yang sangat terpuji. Semoga suatu masa nanti, moga rezeki anda menjadi Ketua Polis Negara,” doa seorang wargamaya.
“Alhamdulillah, contoh ketua yang baik. Demi agama dan ibadah pangkat di bahu ditolak tepi. Moga memberi manfaat kepada pegawai dan anggota PDRM yang lain,” luah seorang wargamaya.
“Perkara seperti ini bukan boleh dibuat-buat, kerana ia perlu datang dari dalam diri seseorang itu. Ramai yang bercakap baik mengenai keperbadian ACP Tuan Nik Ezanee, OCPD Petaling Jaya ini,” kata seorang wargamaya.
“Walaupun berjuta harta kita simpan, cuma lubang inilah akan dapat. PDRM perlu bangga dengan pegawai polis ini, contoh yang amat terpuji. Saya juga ingin puji ibubapa kepada ACP ini kerana mendidik anaknya sungguh baik. God bless you always Tuan ACP,” komen seorang wargamaya lagi.
Hujung Januari lalu, keperibadian Nik Ezanee mendapat pujian ramai apabila tampil membantu seorang suri rumah yang serba kesusahan selepas wanita itu ditahan kerana didapati mencuri ubat-ubatan untuk anaknya yang sakit.