Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Jawab Isu Gaji YouTuber RM360,000, Che Nom Dedah Hidup Tak Ada Life: “Kalau Cita-Cita Jadi YouTuber Fikir Baik Baik”

Maliah Surip 22/02/2023 | 14:36 MYT

Pekerjaan sebagai YouTuber diletakkan dalam senarai tertinggi daripada 9 pekerjaan yang disifatkan paling santai oleh sebuah syarikat yang menjalankan survey mengenai kerjaya.

Dalam senarai yang dikongsikan menerusi bentuk carta itu, YouTuber disifatkan sebagai pekerjaan paling santai tetapi memberi pulangan yang cukup lumayan.
Ia meletakkan anggaran seorang YouTuber boleh memperoleh sehingga RM360,000 satu bulan menerusi konten-konten yang dimuat naik.
Melihat kepada statistik yang diberikan, seorang YouTuber yang cukup terkenal menerusi perkongsian konten resipi masakan, Che Nom, menyangkal jumlah gaji yang dicadangkan dalam carta tersebut.
Menerusi kenyatan yang dikeluarkan, Che Nom mengatakan hanya sekitar 0.01% YouTubers yang boleh mencapai jumlah pendapatan sebanyak itu. Namun ia bukan sebuah proses yang santai.
“0.01% YouTubers yang boleh dapat pendapatan macam ini kalau operate sebagai syarikat kena ada ada sekurang-kurangnya 7 video seminggu dan purata tontonan tiga ratus ribu ke atas setiap video,” kata Che Nom dalam media sosialnya.
Dia juga mendedahkan pendapatan YouTubers adalah di bawah paras kemiskinan, malah menjadikan CEO YouTube, Susan Wojcicki yang meletakkan jawatan baru-baru ini sebagai contoh kesan daripada kemerosotan ekonomi.
“Yang sebenarnya purata pendapatan YouTubers di bawah paras kemiskinan. Apabila ekonomi merosot, syarikat akan kurangkan iklan, RPM jatuh, CPM jatuh, jadi pendapatan YouTubers secara tak langsung akan berkurang. Tahun ini semua jatuh mendadak, CEO Youtube, Susan Wojcicki pening kepala kot sampai letak jawatan,” dedahnya.
Che Nom kemudian mendedahkan pekerjaan balik tabir YouTuber tidak glamor dan memerlukan usaha yang besar kerana memakan banyak proses.
“Untuk hasilkan satu video perlukan 3 hingga 4 hari, research resepi, masak dan shooting, voice over dan editing, final editing, render dan muat naik. Semua ini memerlukan kepakaran seseorang individu. Kalau buat sendiri memang susah.
“Semua ini kos. Hidup tidak ada life, Sabtu dan Ahad kalau tak kerja video memang tidak akan siap, bak kata Syahmi Shazli 24 jam memikirkan content, Mr Beast juga tidur di pejabat sahaja.
“Pendapatan sebagai blogger portal juga jatuh mendadak tahun ni, 2.2 juta pageviews pada laman Resepi Che Nom sekadar meraih pendapatan sebanyak RM2,500 di mana kos untuk membayar server dan admin pun tidak lepas.
“Tidak pasti macam mana portal berita dan blogger lain survive tahun ni. Harap-harap ada pendapatan lain selain Adsense,” katanya lagi panjang lebar.
Sebelum menutup pendapatnya, Che Nom meninggalkan pesanan buat para BBNU yang mahu berkecimpung dan menjadikan YouTube sebagai lubuk pekerjaan.
“Kalau ada yang cita-cita nak jadi YouTubers tu fikir baik-baik. Yang diwar-warkan tu yang berjaya dan ramai juga yang tidak berjaya. YouTubers masakan pon ramai yang dah menghilang.
“Peluang nak berjaya tu sangat rendah. Kalau tak ada kesungguhan dan minat yang sangat mendalam sehingga tahap obses, cari sahaja kerjaya lain yang lebh menjamin masa depan yang ada medical, KWSP dan kemudahan lain seperti cuti tahunan dan cuti sakit,” pesannya.
Sementara itu, selain YouTuber, pekerjaan kedua yang dianggap santai tetapi membawa pulangan besar adalah artis, selebriti atau influencer dengan pendapatan sekitar RM100,000, pemain bola sepak (RM40 ribu — RM120 ribu) dan meletakkan pekerja yang bekerja di Singapura pada tangga terakhir dengan pendapatan sekitar RM10 ribu.

#Viral #masak #Youtuber #Influencer #Gaji #Che Nom #Pempengaruh
;