Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Jenazah Siti Sarah Selamat Dikebumikan – “Memang Permintaan Arwah Untuk Disemadikan Sebelah Pusara Ibunya…”

Fiza Kamarudin 09/08/2021 | 06:02 MYT

Jenazah Allahyarham Siti Sarah Raisuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira kira jam 1.45 petang tadi.

Kira-kira 10 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lengkap PPE menurunkan jenazah ke dalam liang lahad dengan tertib pada jam 1.31 petang, selepas waktu Zuhur.

Perjalanan terakhir Siti Sarah diiringi suami tercinta, ahli keluarga terdekat yang berada di dalam kawasan perkuburan.

Manakala rakan-rakan media dan artis yang hadir memberi penghormatan terakhir hanya dibenarkan berada di luar pagar tanah perkuburan kerana SOP yang ditetapkan.

Suami Siti Sarah, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata dia bersyukur kerana hasrat Allahyarham untuk dikebumikan bersebelahan pusara ibunya terlaksana.
"Memang permintaannya untuk dikebumikan sebelah arwah ibunya. Malah selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya.
“Alhamdulillah, urusan dia di dunia ini sudah selesai dan hasratnya juga dapat ditunaikan. Saya bersyukur kerana Allah permudahkan urusan dia,” katanya
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi ini.
Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan oleh Shuib sendiri laman Instagram (IG).
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.
Bagaimanapun malam tadi ketika majlis bacaan Yassin menerusi aplikasi Zoom, Shuib memaklumkan keadaan isterinya tenat selepas paras oksigen menurun sehingga 30 peratus.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.
Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

#Siti Sarah #Meninggal Dunia #Shuib #Dikebumikan
;