Hiburan
Jenazah Wartawan Hiburan Huzz Selamat Dikebumikan
Jenazah wartawan hiburan popular era 80-an hingga 90-an, Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat daerah Seberang Perai Utara di Permatang Langsat, Pulau Pinang malam ini.
BERITA TRENDING: Wartawan Hiburan Popular, Huzz Meninggal Dunia
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Abdullah Fahim untuk dimandi dan dikafankan diikuti solat jenazah selepas solat isyak, sebelum dikebumikan pada kira-kira 9.45 malam.
Solat Jenazah diimamkan oleh Imam Masjid Abdullah Fahim, Muhammad Izzat Matjidi yang turut disertai kira-kira 200 jemaah dan ahli keluarga.
Allahyarham meninggal dunia di rumah abangnya di Bertam Perdana, di sini pada 6.10 petang tadi akibat kanser usus tahap empat yang didiagnos sejak Mac lepas.
BERITA TRENDING: Belasungkawa: Jadi Rujukan, Allahyarham HUZZ Sempat Kenang Minta BMG Isi 10 Kali Lagu Misha Omar, Bunga-Bunga Cinta Dalam Kaset
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin yang juga adik Huzz berkata abangnya mula tidak sihat sejak November tahun lepas namun tidak menyangka Allahyarham menghidap kanser usus.
"Waktu itu berat badan arwah memang turun banyak dan mendadak, dia sangka (berat turun) kerana kencing manis kerana Allahyarham memang ada sakit kencing manis, namun pada Mac ketika tinggal bersama adik perempuan saya, arwah terjatuh di rumah.
"Kami bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan setelah pemeriksaan lanjut, arwah didiagnos menghidap kanser usus tahap tiga namun dalam masa singkat sudah tahap empat. Doktor pakar yang merawatnya tidak bercadang untuk menjalankan rawatan kemioterapi kerana keadaan badannya yang lemah," katanya.
Huzz sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Allahyarham juga merupakan penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.
-- BERNAMA