Berita
Jepun Rekod 29 Gempa Bumi Dalam Masa 2 Jam, Seorang Dilaporkan Meninggal Dunia
Sebanyak 29 gempa bumi dengan magnitud maksimum 7.6 berlaku di wilayah Ishikawa dan Niigata di Jepun dalam tempoh dua jam pada Isnin, menurut data yang dianalisis oleh Sputnik.
Gegaran bawah tanah bermula pada pukul 4.06 petang waktu tempatan (07:06 GMT).
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshimasa Hayashi berkata sekurang-kurangnya enam rumah telah runtuh akibat aktiviti seismik.
BERITA TRENDING: Terlalu Banyak Satelit Di Angkasa, Sinar Matahari Mungkin Terhalang Sampai Ke Bumi
"Setakat ini, enam bangunan telah runtuh dengan kemungkinan ada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan," kata Hayashi.
Beliau berkata pihak berkuasa tidak memiliki sebarang maklumat mengenai penduduk yang cedera.
Apabila diminta mengulas laporan media Jepun mengenai runtuhan kira-kira 100 bangunan, Hayashi berkata kerajaan Jepun sedang mengesahkan maklumat berkenaan.
Seorang dilaporkan maut selepas bangunan runtuh di bandar Shika akibat gempa bumi yang melanda wilayah Ishikawa pada Isnin, lapor Reuters.
Terdahulu, pihak berkuasa Jepun memaklumkan, sekurang-kurangnya enam buah rumah rosak akibat gempa bumi itu, dengan beberapa penduduk terperangkap di dalamnya.
Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami peringkat tinggi selepas beberapa siri gempa bumi kuat menggegarkan kawasan barat negara itu pada Isnin.
Siri gempa bumi melanda Ishikawa dan wilayah berdekatan, dengan satu gempa bumi bermagnitud 7.4, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
BERITA TRENDING: Ronaldo Beri Mangsa Gempa Bumi Maghribi Menginap Di Hotel Miliknya
Dalam satu sidang media pada Isnin, JMA juga memaklumkan pihaknya menjangkakan satu lagi gempa bumi kuat akan melanda kawasan tersebut dalam masa seminggu akan datang.
Biarpun gempa bumi yang melanda kali ini tidak seteruk yang berlaku pada 2011, namun rakyat Jepun tetap bimbang dengan amaran gempa bumi seterusnya dalam masa seminggu akan datang.