Berita
Jho Low Nafi Terima Layanan Pelacur, Terlibat Skandal Seks K-Pop
Ahli perniagaan dalam buruan dari Malaysia, Jho Low nafi terlibat dalam skandal seks dan pelacuran melibatkan Pengarah Urusan YG Entertainment, Yang Hyun Suk.
Bagaimanapun jurucakap Jho Low di Amerika Syarikat menegaskan, ahli perniagaan tersebut tidak terlibat dalam kontroversi pelacuran seperti yang dilaporkan oleh program ‘Straight’ disiarkan stesen penyiaran popular, Munhwa Broadcasting Corporation (MBC).
“Tuan Low adalah sahabat kepada PSY dan mengenali Hyun Suk menerusi penyanyi popular itu. Tuan Low tidak pernah terlibat seperti yang dituduh oleh ‘Straight’," tegasnya.
PSY pernah membuat persembahan di sebuah konsert percuma di Pulau Pinang menjelang PRU ke-13 pada 2013.
Konsert itu dipercayai menerima dana daripada Jho Low.
Terdahulu sebuah program penyiasatan di Korea Selatan, 'Straight', melaporkan Jho Low bersama seorang lagi ahli perniagaan dari Thailand telah menerima layanan seks yang disediakan Hyun Suk, pada Julai 2014.
‘Straight’ pada Isnin menyebut, Hyun Suk telah mengatur sebuah majlis makan malam dan menyediakan perkerja seks kepada dua pelabur asing kaya-raya.
Seorang wartawan‘Straight’yang diwawancara mendakwa, seramai 25 wanita, lebih 10 orang pelacur dari kelab melibatkan YG dan lapan orang lelaki hadir pada majlis makan malam yang disertai dengan pesta seks itu.
Dakwa wartawan tersebut lagi, penyanyi di bawah label YG Entertainment, Hwang Ha-na dan cucu pengasas Produk Susu Hongyang, Hong Doo-young, dikatakan antara wajah popular yang menghadiri majlis tersebut.
"Majlis dihadiri hartawan dari luar negara, jadi penganjur memerlukan orang yang boleh mentafsir bahasa Inggeris, jadi disebabkan Hwang Ha-Na dari Amerika Syarikat, mereka telah menjemput dia,” katanya.
Wartawan itu turut mendedahkan mengenai seorang taikun wanita digelar ‘Madam Chung’ yang membekalkan pelacur untuk majlis makan malam dihadiri Jho Low.
‘Madam Chung’ dikatakan mempunyai hubungan erat dengan Hyun Suk, selain rapat dengan beberapa ahli politik dan berpengaruh Korea Selatan.
YG bagaimanapun menolak tuduhan tersebut dan menganggap ia sebagai tidak berasas.
Kes melibatkan Jho Low ini dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal pelacuran dan penyalahgunaan dadah di kelab malam mewah Burning Sun, yang dimiliki oleh Seungri, bekas ahli kumpulan K-Pop terkenal, Big Bang, yang bernaung di bawah YG Entertainment.
Sumber: The Korea Herald/Asia News Network