Jodoh Tak Panjang, Usahawan Viral Ceraikan Isteri 2 Minggu Lepas Bernikah Melalui Whatsapp
Usahawan yang juga pemilik salon dikenali sebagai Danny mengesahkan sudah bercerai dengan isteri, Nur Azera Fatehah Abdullah, 22, selepas berkahwin hanya dua minggu.
Danny, 40, berkata kepada Harian Metro sudah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya pada 30 Julai lalu jam 4.04 petang, kiriman mesej di aplikasi WhatsApp.
"Saya tahu perceraian adalah hal yang Allah murka tetapi mungkin jodoh kami sampai di situ saja.
"Saya tak boleh kongsikan punca perpisahan secara terperinci tetapi apa boleh saya katakan, ia terjadi kerana tiada keserasian di antara kamir," katanya.
Jauh di sudut hati, Danny sedih mengenangkan tempoh perkahwinannya yang singkat dan hanya bertahan setakat dua minggu saja.
"Tapi sebagai manusia siapa saya untuk melawan takdir jadi reda dengan ketentuan-Nya.
"Jujurnya saya tak salahkan dia (isteri) atau menyimpan dendam terhadapnya kerana mungkin saya pun ada salah tanpa sedar atau gagal jadi suami yang baik buatnya," ujarnya
Danny turut menyangkal dakwaan segelintir netizen yang mengatakan perkahwinannya dengan Nur Azera Fatehah sekadar satu 'content' (bahan kandungan perkongsian) semata-mata.
"Saya tahu daripada sebelum berkahwin hingga kini memang ada segelintir netizen mengatakan perkahwinan saya satu 'content'.
"Cuba fikir saya berkahwin menggunakan duit dan memang ikhlas nak halalkan isteri jadi takkan saya sanggup buat semua itu demi 'content'?
"Dalam tempoh dua minggu perkahwinan itu, saya dapat merasai pengalaman menjadi suami, belajar erti kasih sayang kepada wanita dan merasakan nikmat hidup berkeluarga yang diinginkan walaupun sementara," katanya .
Danny yang tidak serik untuk berkahwin lagi dan dijangka mendaftarkan kes permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi ,Selangor pada Isnin depan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah perkahwinan Danny dengan Nur Azera Fatehah iaitu wanita yang sebelum ini berperwatakan lelaki.
Pasangan itu diijabkabulkan pada 15 Julai lalu dalam majlis pernikahan di rumah keluarga Nur Azera Fatehah dekat Ladang Kelapa Sawit Ulu Remis dekat Layang-Layang, Johor.
Uniknya perkahwinan mereka adalah kerana Danny dan Nur Azera Fatehah hanya berkenalan selama lima hari sebelum sepakat berumah tangga.