Berita
Johor Tukar Cuti Hujung Minggu Kepada Sabtu & Ahad Mulai 1 Jan 2025
Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun hadapan.
Berkuatkuasa 1 Januari 2025
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).
“Selepas mendapat perkenan dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail hari ini.
Dalam hantaran yang sama, baginda juga bertitah agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan akan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat.
“Saya juga menitahkan agar YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
“Saya berharap agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” titah baginda.
Pada 1 Jan 2014, pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim.
Untuk info, negeri lain yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Terengganu, Kelantan dan Kedah.