Joko Anwar Janjikan Tahap Keseraman Berlipat Ganda Menerusi Pengabdi Setan 2: Communion
Pengarah tersohor, Joko Anwar menjanjikan tahap keseraman berlipat kali ganda menerusi buah tangan terbaharu, Pengabdi Setan 2: Communion.
Joko berkata, tahap keseraman yang dipaparkan sedikit berbeza berbanding Pengabdi Setan 1, memandangkan landskap penggambaran bagi naskah kali ini lebih luas dan tidak terhad seperti sebelumnya.
“Dari segi nafas dan mood masih sama dengan yang pertama, kerana yang kedua ini merupakan sambungan dari filem yang pertama.
“Cumanya kalau dilihat pada filem pertama banyak menyaksikan aksi ketakutan atau adegan seram itu hanya terjadi dalam sebuah bilik sahaja dan ruangan yang agak terhad.
“Namun untuk versi yang kedua, kawasan yang digunakan lebih luas dan lebih selesa dengan penambahan adegan seram itu dua kali ganda malahan tiga kali ganda dari sebelumnya,” ujarnya.
Joko berkata demikian ketika sesi temu bual yang diadakan menerusi panggilan video sejurus selepas Majlis Tayangan Pengabdi Setan 2: Communion yang berlangsung di pawagam GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Joko turut mendedahkan cabaran terbesar yang dihadapinya adalah dia perlu memastikan kawasan penggambaran yang sudah lama ditinggalkan itu selamat untuk digunakan.
“Cabaran sangat luar biasa kerana penggambaran filem ini berlaku disebuah pangsapuri yang ditinggalkan selama 15 tahun dengan keadaan bangunan yang belum siap, saya sendiri tidak tahu mengapa syarikat binaan menghentikan kerja-kerja pembinaan di situ.
“Kemudian ketika kami menjalankan penggambaran filem ini, keadaan bangunan tersebut tidak berapa elok untuk digunakan, sehingga kami terpaksa melakukan beberapa penambah baikkan sendiri.
“Tujuannya kerana kami ingin memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat untuk penggambaran,” ujarnya.
Ditanya apakah filem ini mempunyai kaitan dengan satu ajaran sesat yang pernah menggemparkan dunia suatu ketika dulu, dia hanya menyerahkan kepada penonton untuk menilainya sendiri.
“Andai ada yang mengaitkan ajaran sesat di dunia sebenar dengan filem ini, apa yang boleh saya katakan kepada mereka, tidak mengapa untuk berfikiran begitu, itu hak mereka untuk menilai jika sudah melihat filem ini.
“Kerana pada saya ajaran sesat ini merupakan satu hal menarik yang boleh dikaji, orang yang mengamalkan ajaran sesat ini selalunya mereka yang merasakan ajaran agama mereka tidak mengcukupi sehingga menuntut ilmu lain.
“Ini menunjukkan manusia itu mempunyai pemikiran yang sangat kompleks, manakala untuk sesebuah filem yang memiliki elemen kompleks itu adalah satu hal yang menarik untuk dipersembahkan,” tambahnya.
Pengabdi Setan 2: Communion menampilkan pelakon handalan Indonesia seperti Tara Basro, Jourdy Pranata, Endy Arfian, Muhammad Hidayat, Ratu Felisha dan ramai lagi.
Turut bersama membintangi filem tersebut iaitu pelakon tunggal dari Malaysia, Bront Palare yang membawakan watak Bapak.
Sinopsis:
Beberapa tahun selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian penuh tragedi yang mengakibatkan keluarga mereka kehilangan ibu serta adik bongsu, Rini serta adik-adiknya iaitu Toni dan Bondi telah berpindah ke rumah flat bersama ayah mereka.
Mereka sangkakan dengan suasana jiran tetangga yang lebih ramai keadaan lebih selamat namun jangkaan mereka ternyata salah apabila mereka tidak mengenali orang di sekeliling. Pada suatu malam kejadian misteri berlaku dan mereka harus menyelamatkan diri sekali lagi namun mungkin tindakan mereka sudah terlambat.
Filem seram arahan sutradara terkenal Indonesia, Joko Anwar, Pengadbi Setan 2: Communion bakal menghantui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 11 Ogos ini.
#Filem Seram
#Pengabdi Setan
#Endy Arfian
#Jourdy Pranata
#Asmara Abigail
#Ayu Laksmini
#Bront Palare
#Jojo Anwar
#Moh Iqbal Sulaiman
#Nafiza Fatia
#Pengabdi Setan 2: Communion