Berita

Jom Wakaf al-Quran Ke Hospital & Pusat Kesihatan Seluruh Negara!

Kamaruddin Razal
10/04/2020
14:25 MYT
Sponsor Banner
Jom Wakaf al-Quran Ke Hospital & Pusat Kesihatan Seluruh Negara!
Sebanyak 15,000 naskhah al-Quran disasarkan untuk pelaksanaan Projek Wakaf al-Quran Ke Hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seluruh negara.
Memetik laporan Sinar Harian, projek wakaf khas itu bertujuan mengaktifkan #QuranTime Corner menjelang Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, inisiatif berinteraksi dengan al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan amalan itu merupakan projek bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF, Majlis Dakwah Negara, Solidariti Ummah untuk Ummah.
“Sumbangan wakaf al-Quran Mu'jam, terjemahan perkata dan Tajwid berwarna bagi membantu petugas, pesakit dan orang awam memahami isi al-Quran untuk panduan, peringatan, petunjuk dan penyembuh.
“Wakaf dibuka sekarang dengan nilai sumbangan RM45 senaskhah. Berwakaflah atas nama sendiri, keluarga dan ibu ayah yang masih hidup atau telah meninggal dunia.
"Pihak syarikat dan mana-mana organisasi yang ingin menyumbang kepada komuniti hospital sangat dialu-alukan," katanya.
Menurutnya, atas amanah dan tanggungjawab komuniti, Hospital Shah Alam Selangor telah menerima sejumlah naskhah al-Quran bagi penyampaian pertama hasil sumbangan wakaf orang ramai untuk inisiatif ini.
"Untuk menyumbang sebagai pewakaf al-Quran, orang ramai boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital. Bayaran wakaf boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akuan Maybank Islamik 564276516031 atas nama dengan rujukan Wakaf Quran.
"Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.
"Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran," katanya.
Majlis penyerahan sumbangan Wakaf al-Quran kepada Hospital Shah Alam telah disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili WUIF kepada wakil Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Program Hospital Mesra Ibadah, Hospital Shah Alam, Wahidi Mamat baru-baru ini.
Wahidi ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada WUIF dan Karangkraf di atas sumbangan bermakna itu.
Beliau turut menyifatkan penerimaan sejumlah naskhah al-Quran yang diwakafkan itu penting untuk mengimarahkan program spiritual Hospital Shah Alam di bawah inisiatif Hospital Mesra Ibadah.
"Kesemua sumbangan al-Quran wakaf itu akan diagih-agihkan kepada semua petugas barisan hadapan serta lebih 40 surau kecil terdapat di sekitar kawasan kompaun Hospital Shah Alam," katanya.
Sementara itu, WUIF dengan sokongan Jakim dan kerjasama TV AlHijrah turut menggerakkan Musaadah Covid-19, Malaysia #QuranTime dalam misi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.
Program tersebut bersiaran di saluran 114 bermula 20 Mac lalu bagi mengajak orang ramai untuk berinteraksi dengan al-Quran terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Slot selama sejam itu memberi peluang kepada penonton untuk bertadabbur dan bertazakkur surah pilihan bersama Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.
Bacaan al-Quran turut dibimbing oleh qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali secara bergilir.
Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour 'Masuk Syurga Sekeluarga' secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.
QuranTime yang membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi akan disampaikan oleh Fazrul dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.
Selain itu, Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein memberitahu beliau akan berkongsi ilmu mengenai kekeluargaan dengan tema Masuk Syurga Sekeluarga dan dikaitkan berserta rujukan al-Quran diadakan pada jam 9 malam hingga 9.30 malam setiap hari.
"Diharapkan pengisian rohani ini dapat mengukuhkan diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan al-Quran sebagai panduan kehidupan," katanya. Sumber: Sinar Harian
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar