Laman Utama
Jual Tandatangan Bercetak RM2,700, Bob Dylan Salahkan Penyakit Vertigo
Pesohor Bob Dylan baru baru ini mengeluarkan kenyataan permohonan maaf selepas tandatangannya ‘ditangkap’ sebagai palsu atau tidak ditandatangan secara langsung olehnya dalam sebuah buku dan beberapa hasil seni sejak tahun 2019.
Dylan mengaku menyesal kerana membenarkan kesalahan itu terjadi sekaligus menjual tandatangan yang diulang cetak oleh autopen atau mesin dengan pen yang mencetak tandatangan sebenar seseorang.
Penyanyi berusia 81 tahun itu mengaku membenarkan penipuan tersebut terjadi selepas diserang penyakit vertigo pada tahun 2019. Vertigo boleh ditafsirkan sebagai penyakit yang menyebabkan seseorang sakit kepala dan hilang keseimbangan badan.
Isu tanda tangan ‘palsu’ itu terbongkar selepas salah seorang peminatnya membeli naskhah edisi khas The Philosophy of Modern Song yang disertakan bersama tanda tangan aslinya.
Buku tersebut dijual pada harga RM2,700 kerana mempunyai ‘tanda tangan asli’ bintang terkenal itu.
Namun, selepas membandingkan tandatangan Dylan dengan beberapa foto yang lain, peminat tersebut mendapati ia sebagai tidak asli dan merupakan cetakan ulang.
Dia lalu meminta pihak pengeluar buku Simon & Schuster, ganti rugi namun permintaannya ditolak kerana mendakwa semua yang dijual adalah sah.
Bagaimanapun selepas ‘penipuan’ itu tersebar, pihak pengeluar bersetuju untuk memulangkan sekitar 900 duit pembeli buku tersebut.
Hal itu memicu kepada pengakuan Dylan tentang tandatangan yang dicetak ulang oleh autopen dalam buku tersebut.
“Selama ini saya langsung tidak mempunyai masalah memberi tandatangan asli dalam semua karya berkaitan saya.
“Bagaimanapun pada tahun 2019, saya mengalami masalah vertigo yang sangat teruk dan ia berlarutan sepanjang pandemik COVID-19.
“Ini menyebabkan saya tidak dapat menurunkan tanda tangan asli dan dengan cadangan serta persetujuan bersama, kami bersetuju menggunakan autopen yang mencetak semula tanda tangan saya dalam buku tersebut,” tulis Dylan seperti dilaporkan BBC.com.
Kredit Foto: BBC.com & PA Media