Laman Utama
Juara AF2016, 2 Kali Masuk AJL, Amir Masdi Akhirnya Lancar Album Selepas 7 Tahun Jadi Artis!
Bakat besar dimiliki penyanyi ini menarik pujian ramai. Selain memiliki karakter vokal tersendiri, Amir Masdi juga punya pesona tersendiri setiap kali muncul membuat persembahan.
Selepas dua kali melangkah ke pentas ‘Anugerah Juara Lagu’ (AJL), Amir Masdi dilihat sudah berada di landasan tepat dengan muzik yang dibawa. Malah, keberadaan Amir dalam pasaran industri hiburan tanahair kian mewangi.
Tatkala lagu terbaharunya berjudul “Sengaja” mula melekat di hati peminat dan pencinta muzik, Amir dan pasukannya terus giat mengatur pelbagai strategi agar kemunculannya sentiasa dinanti peminat dengan pengeluaran karya-karya baru berkualiti dan segar.
Konsep album matahari
Disebabkan itu, Amir, 27, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi muncul dengan album solo sulungnya berjudul AMIR MASDI. Berbekalkan kecekalan diri, buah tangan yang cukup istimewa ini hadir selepas tujuh tahun pembabitan Amir Masdi sebagai anak seni.
“Album ini berkonsepkan matahari kerana ia adalah salah satu sumber utama kita dalam kehidupan. Matahari juga ada ‘sunrise’ dan ‘sunset’, jadi album ini adalah ‘sunrise’ atau boleh dikatakan kelahiran pertama saya. Ia juga ibarat cahaya pertama yang menyinari karier saya.
“Album ini ada sejumlah 12 lagu termasuk yang sudah pernah dikeluarkan sebelum ini dan juga lagu baharu yang saya tulis bersama beberapa penulis lirik dan komposer lain sejak PKP lagi. Sebenarnya, perancangan untuk hasilkan album ini sudah lama dan ia adalah impian saya sejak dulu lagi.
“Album ini bukan sahaja satu hadiah buat peminat, tetapi ia juga satu kejayaan peribadi buat saya sebagai seorang penyanyi. Bagi saya, tidak lengkap sekiranya seseorang penyanyi itu tiada album. Album juga menjadi satu kekuatan buat seorang penyanyi kerana dia boleh persembahkan karya penuhnya dalam satu pakej kepada umum,” katanya.
Album yang memuatkan sejumlah 12 lagu itu menjadi pertaruhan berani Amir bukan saja sebagai penyanyi tapi juga sebagai seorang pelabur yang turut mengeluarkan kos sendiri selain dibantu oleh pihak Nova Music dalam proses rakaman.
Amir Masdi lawan arus, keluar album fizikal
Melawan arus, album AMIR MASDI bukan saja dilancarkan di semua platform digital tapi juga diterbitkan dalam bentuk fizikal.
“Memang ramai akan persoalkan sekiranya album dikeluarkan dalam bentuk fizikal ketika ini. Memang akan ada rasa kurang yakin bila mahu lancarkan album secara fizikal sebab tak pasti sama ada orang nak beli ke tak.
"Pada saya, itu adalah perkara kedua. Yang penting, saya hasilkan sebuah buah tangan peribadi bagi semua peminat. Ia juga memenuhi impian saya selama ini. Saya yakin ada golongan peminat yang mahukan satu hasil karya yang boleh dipegang dan menjadi barangan simpanan peribadi. Saya juga percaya album fizikal ada nilai sentimental berbanding album digital.
“Album fizikal ini juga boleh mengimbau kenangan lalu 10 hingga 20 tahun di masa depan. Album ini memang saya dan pengurus keluarkan modal sendiri untuk menghasilkannya dan pihak Nova Music turut membantu dari segi mempermudahkan proses rakaman.
"Ini boleh dikatakan loncatan ‘berani mati’, tapi saya percaya semuanya akan berakhir dengan baik. Walaupun mungkin tidak dapat pulangan dari modal yang dikeluarkan, tidak mengapa sebab apa yang penting album ini sudah terhasil.
“Sebagai permulaan, saya dan pihak pengurusan akan keluarkan sebanyak 500 keping CD album ini dan sekiranya ada permintaan lagi, saya akan ulang cetak album ini. Ada juga album premium di masa depan di mana ia diterbitkan dalam satu pakej khas termasuk beberapa produk tambahan. Tapi, ia cuma akan dilancarkan selepas album standard ini”, katanya.
Kumpul lagu dari PKP
Berkongsi lanjut mengenai album itu, Amir berkata pencarian material lagu untuk album sudah bermula sejak beberapa tahun lalu.
“Saya mula kumpul bahan untuk penghasilan album ini sejak sebelum PKP lagi. Kalau tak silap, selepas penghasilan lagu Asmara. Kemudian saya jumpa ramai komposer untuk buat lagu. Proses album ini bukan saya buat lagu banyak-banyak kemudian baru pilih.
"Tapi untuk album ini, saya terus tulis lagu atau tentukan konsep apa yang dimahukan, barulah kami masukkan lagu tersebut dalam senarai lagu album.
“Lagu-lagu dalam album ini memang kami senaraikan dari awal dan apabila sampai cukup 12 lagu, barulah kami teruskan proses seterusnya. Single pertama saya berjudul Pemilik Cinta juga dimasukkan dalam album ini tetapi dengan susunan semula muzik dan rakaman semula vokal”, katanya.
Menariknya, bersempena pelancaran album AMIR MASDI pada 7 Julai 2023, Amir turut mengadakan persembahan eksklusif khas buat peminat setianya.
“Sebenarnya, saya mahu buat siri jelajah untuk album ini, tapi buat permulaan saya akan buat ‘showcase’ dahulu sempena pelancaran album ini sebab saya juga tak pernah buat persembahan dengan 12 lagu sendiri sebelum ini.
“Dari situ juga, saya boleh menilai kemampuan saya mempersembahkan sejumlah 12 lagu pada satu masa. Setidak-tidaknya, saya boleh biasakan diri mempersembahkan lagu-lagu yang banyak dalam satu persenbahan secara langsung.
"Sebagai seorang penyanyi, kita mahu tinggalkan satu legasi, bukan untuk mengejar populariti dan duit semata-mata. Populariti dan duit itu adalah bonus dan motivasi untuk karier seorang penyanyi itu,” mengakhiri kata.