Jurusolek Lelaki Mengaku Tak Bersalah Cabul Pelakon Sambilan
Seorang jurusolek juga pemilik salun dandanan rambut didakwa di Mahkamah Sesyen, Melaka pada Khamis, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang pelakon sambilan lelaki pada Jumaat lalu.
Tertuduh Saril Sarip, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa berusia 18 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah salun dandanan rambut miliknya di Taman Tasik Utama, di sini, kira-kira jam 4.15 petang, pada 17 Januari lalu.
Pertuduhan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM10,000 dan memohon syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi serta tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Durian Tunggal, setiap satu hari bulan.
Tertuduh diwakili peguam, L lsharveen bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tertuduh masih bujang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.
Hujahnya, tertuduh yang mempunyai salun sendiri turut menyara ibu kandung berusia 78 yang menghidap sakit darah tinggi dan usus selain menjaga kakak yang tidak berkahwin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan kes.