Laman Utama
“Kacak Tengok Terus Anxiety..” - Vida Luah Rasa Marah, Sakit Hati Pada Video Kes Buli Di Sebuah MRSM
Usahawan kosmetik popular Datuk Seri Vida meluahkan rasa sakit hatinya setelah melihat video sekumpulan remaja yang membuli seorang pelajar lain.
Menurut Vida, insiden itu turut memberi kesan kepada anak lelakinya, Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Kacak, 14 tahun.
Tambah Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, Kacak terus mengalami masalah keresahan setelah menonton video tersebut.
“Kacak tengok ni terus anxiety. Saya tengok rasa sakit hati. Trauma budak ni.
“Tengok muka, sedih. Duk main tumbuk ulu hati. Effect boleh sesak nafas jangka masa panjang.
“Siapa yang kena buli ni, kena buat sesuatu. Trauma dia ni,” ujar Vida di ruangan kapsyen.
Awal minggu ini, tular di media sosial rakaman video sekumpulan pelajar asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar menumbuk dan menendang seorang pelajar lain beramai-ramai.
Menerusi beberapa video yang berdurasi 13 hingga 30 saat itu, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta untuk berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali di perut oleh beberapa remaja lain.
Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya meluahkan rasa sedih dan risau mereka mengenangkan insiden buli yang berlaku tersebut melibatkan pelajar berusia 13 tahun hingga 15 tahun.
“Allahu, sebak tengok budak tu. lagi sedih tengok anak melayu kita jadi macam ni di usia muda,” ujar seorang wargamaya.
“Sumpah saya sebak sangat. Teringat yang kita pun ada anak lelaki, ya Allah,” luah seorang wargamaya.
“Tak sanggup nak tengok video ni. Kesian pada mangsa menahan sakit. Harap membuli kena hukuman setimpal. Tak boleh bayangkan kalau kena kat anak kita. Memang saya ambil tindakan,” tulis seorang wargamaya.
“Saya marah sangat. Mana ibu bapa budak yang kena buli ni. Ambil tindakan sebagai pengajaran. Yang membuli tu ibu bapa mana? Nampak tak apa yang anak-anak anda buat sekarang. Jangan sambil lewa,” berang seorang wargamaya.
“Perut tu jika pecah usus boleh mati budak tu. Kita hantar anak ke MRSM bukan ambil balik sebagai jenazah. Mintak pihak MRSM macam mana budak kurang ajar macam ni boleh lepas masuk di sini,” komen seorang wargamaya lagi.
Menurut Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, setakat ini 10 pelajar sudah ditahan bagi membantu siasatan kes ini.
Sementara itu, enam pelajar yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli tersebut digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.