Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Kalah IQ Orang Dewasa! Kanak-Kanak 2 Tahun Jadi Ahli Mensa UK Termuda, Haryz Digelar Genius!

Gempak 13/09/2022 | 03:30 MYT
Tular seorang kanak-kanak bernama Muhammad Haryz Nadzim Mohd Hilmy berusia dua tahun mempunyai kepintaran luar biasa dengan memiliki IQ yang tinggi mengalahkan orang dewasa.

Haryz yang menetap di United Kingdom bersama ibu bapanya diterima masuk ke Mensa UK setelah mendapat skor 142 dalam ujian Stanford Binet – penilaian keupayaan kognitif yang digunakan untuk mengukur tahap kecerdasan IQ.

Menurut laporan Mɛtro UK, nilai tersebut meletakkannya dalam 0.3 peratus tertinggi penduduk.

Ibunya, Nur Anira Asyikin Hashim, 30, berkata bahawa rahsia kepintaran Haryz adalah pendedahan kepada buku seawal umur dua tahun malah anaknya mula menyebut perkataan pertama ketika berusia tujuh bulan.

“Kami tidak mempunyai banyak pengalaman, jadi kami fikir kanak-kanak memang begitu. Tapi sebaik sahaja dia mula dihantar ke pusat asuhan, kami diberitahu bahawa keupayaan dirinya melebihi budak lain. Ketika itu kami sedari bahawa dia agak istimewa.

“Apa yang penting adalah Haryz gembira dengan apa yang dilakukannya dan kami akan sentiasa berbangga dengannya tidak kira apa sahaja pencapaiannya”, jelas Anira.

Anira dan suami, Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin, yang memiliki latarbelakang kejuruteraan sememangnya tidak pernah menyangka bahawa anak mereka memiliki kepintaran sedemikian.

Setelah mengetahui akan kepintaran dan kemahiran yang dimiliki anak mereka, pasangan itu kemudiannya telah mencipta satu saluran YouTube dinamakan ‘Little Haryz’ agar ianya dapat memberi galakan kepada kanak-kanak lain.

Menurut Anira, tiada petua atau amalan yang dilakukan namun dia kerap berdoa agar dikurniakan seorang cahaya mata sempurna selain membaca mana-mana saja surah dari al-Quran.

Sungguhpun empat tahun menetap di negara orang, Nur Anira berkata dia dan suami tetap mengajar Haryz bertutur dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu.

“Haryz boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu. Kami menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu ketika berada di rumah bersama Haryz.

“Namun, Haryz lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris. Haryz juga belajar beberapa ayat Mandarin dari neneknya kerana neneknya seorang yang berbangsa Cina,” ujarnya.

Sumber; Mingguan Wanita
#Kanak-kanak Genius #Haryz #Haryz ahli Mensa UK #Haryz genius
;