Viral
Kalah Kes Saman Fitnah Terhadap Bekas Menantu, Ustaz Engku Fadzil Buka ‘Tabung’ Kutip Sumbangan - "Kesemuanya RM65,000"
Tokoh agamawan ASWAJA yang juga bekas bapa mentua kepada bekas ratu cantik negara, Shakila Saiful iaitu Ustaz Engku Fadzil memohon sumbangan orang ramai untuk membiayai kos guaman peringkat rayuan selepas kalah kes saman fitnah terhadap bekas menantunya itu.
Buka Tabung Tampung Kos Guaman
Menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook, Ustaz Engku Fadzil memaklumkan pihaknya memerlukan RM60,000 untuk membiayai kos guaman peringkat rayuan di mahkamah.
“Ustaz Engku dengan ini membuka ruang kepada sesiapa yang sudi dan mampu untuk menyumbang kepada kos guaman peringkat rayuan ini yang kesemuanya berjumlah RM65,000 yang mana RM5,000 telah dibayar oleh Ustaz Engku sendiri menjadikan jumlah yang perlu kepada bantuan setakat hari Jumaat 25 Oktober 2024 adalah sebanyak RM60,000 yang perlu dibayar mengikut peringkat,” tulisnya.
Dakwa Mufti Perlis Biaya Kos Guaman Bekas Menantu
Dalam pada itu, Ustaz Engku turut mendakwa bekas menantunya itu menerima biayaan daripada individu berpengaruh namun tidak mengesahkan perkara tersebut.“Ustaz Engku ada menerima maklumat pada 27 Mac 2023 bahawa kos guaman Shakila Saiful, bekas menantu Ustaz Engku (defendan dalam Tuntutan Utama) dibiayai oleh Mufti Perlis.
“Apapun, Ustaz Engku tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut dan sekiranya benar sekalipun Ustaz Engku tidak pasti adakah yang dimaksudkan “dibiayai oleh Mufti Perlis” itu bererti menggunakan dana peribadi beliau atau bermaksud dipermudahkan urusan oleh beliau untuk mendapat dana tertentu, peruntukan zakat fi sabilillah misalnya, Ustaz Engku tidak pasti dan belum berusaha memastikan. Yang pasti, Ustaz Engku tidak mendapat biayaan khusus daripada sesiapa,” dakwanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ratu Cantik Negara Syukur Menang Kes Saman Bapa Mentua Yang Juga Tokoh ASWAJA - “Hanya Allah Yang Tahu Betapa Sakitnya Di Tangan Mereka”
Fakta Kes
Terdahulu, Ustaz Engku atau Engku Fadzil memulakan saman terhadap Shakila Saiful di Mahkamah Tinggi Shah Alam di bawah kausa fitnah.
Engku Fadzil mengatakan Shakila telah memfitnahnya di media sosial tentang pengguguran kandungannya. Engku Fadzil turut mendakwa Shakila mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan reputasinya.
Mahkamah mendapati Engku Fadzil gagal membuktikan kes dan perlu membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Shakila.
Kes saman kedua adalah saman balas Shakila berkenaan kausa penipuan/salahnyataan. Shakila mendakwa Engku Fadzil melalui Engku Fakhruddin (bekas suami) telah membuat representasi salah dan/atau penipuan apabila meyakinkan Shakila untuk menggugurkan kandungannya dengan mengatakan Fatwa Negeri Perlis dan Pahang membenarkan perbuatan menggugurkan kandungan tersebut.
Mahkamah mendapati Shakila berjaya membuktikan kes terhadap Engku Fadzil dan Engku Fakhruddin. Kedua-dua mereka perlu membayar gantirugi sebanyak RM80,000 kepada Shakila.
Pada tahun lalu, Shakila membuat pendedahan mendakwa dirinya ditipu dalam perkahwinannya selepas mengaku pernah menggugurkan janin kembarnya yang ketika itu berusia sebulan di dalam perut hasil persetubuhan luar nikah.
Dedah Shakila, dia melakukan perbuatan itu selepas dipujuk oleh keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya (gugurkan kandungan).
Dia dan suami berkahwin pada 22 Mei 2022 sebagai janji menggugurkan janin itu.
Mengulas lanjut, Shakila memberitahu, selepas enam bulan berkahwin, dia telah mengalami keguguran (kandungan selepas nikah).
Menurut doktor yang merawatnya, dia telah mengalami ‘chemical pregnancy’ yang merupakan kesan kepada pembuangan kandungan pernah dilakukan sebelum ini.
Namun, lapan hari selepas mengalami keguguran, suaminya telah memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah atas alasan tidak munasabah sama sekali.
Gara-gara tindakan suaminya itu, dia telah mengalami depresi yang sangat teruk sehingga pernah membuat cubaan membunuh diri sebelum ini.
Shakila di dalam keterangan beliau di mahkamah mengatakan bahawa cerita beliau di media sosial adalah cerita yang benar, berasaskan kisah sebenar yang berlaku terhadap dirinya, beliau lalui sendiri dan bukannya fitnah kepada Engku Fadzil atau Engku Fakhruddin.