Laman Utama
“Kalau Belum Masuk Lagi Jangan Risau Kerana…”- Pembayaran KWSP Diawalkan Mulai 18 April Untuk…
Bayaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan lebih awal iaitu hari ini, berbanding jadual asal 20 April seperti diumumkan sebelum ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan mengkreditkan bayaran itu lebih awal dibuat kerana ramai yang meminta ia dipercepatkan.
"Saya mendengar suara anda. Oleh itu, setelah berbincang dengan KWSP, sukacita dimaklumkan pengeluaran khas KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April 2022 dan bukannya 20 April 2022 seperti yang diumumkan sebelum ini.
"Bagi mereka yang telah memohon pada awal bulan April bolehlah mula check akaun masing-masing esok (hari ini). Tapi kalau belum masuk lagi, jangan risau, insya-Allah akan masuk juga kerana bayaran dibuat secara berperingkat," katanya.
Beliau memberi kenyataan berkenaan dalam satu perkongsian di Instagram pada Ahad malam.
Permohonan untuk pengeluaran khas KWSP ini telah dibuka bermula pada 1 April lalu setelah kerajaan bersetuju untuk membenarkan pencarum berusia bawah 55 tahun untuk mengeluarkan simpanan sehingga maksimum RM10,000.
KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, pengeluaran khas ini merupakan yang terakhir akan dilakukan dan tidak ada lagi skim pengeluaran khas selepas ini.