Laman Utama
“Kalau Benci Sangat, Lepaskan Saja” - Isteri Dakwa Afiq Muiz Sengaja Lengahkan Cerai
Isteri kepada pelakon Afiq Muiz iaitu Pachara Apin menyifatkan suaminya sengaja melengah-lengahkan proses permohonan cerai secara fasakh yang dituntutnya selepas mendakwa tidak menerima sebarang notis awal berhubung perkara tersebut.
Pachara atau nama Islamnya Nur Aaira Mahadeya, 32, memberitahu dia dan peguamnya juga mempunyai bukti telah menghantar mesej mengenai kes tersebut sebelum ini kepada Afiq.
“Sekarang ini saya rasa dia sengaja nak melambat-lambatkan kes.
“Sedangkan peguam saya pun ada bukti mesej mengenai kes ini telah dihantar kepadanya sebelum ini,” katanya seperti yang dilapor Kosmo! Online.
Pachara berkata demikian ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Khamis.
Selaku plaintif, dia juga mempersoalkan mengapa Afiq masih enggan menceraikannya selepas pelbagai fitnah dilemparkan terhadapnya sebelum ini.
“Sudah terang-terang dia mengata saya iaitu isterinya sendiri dengan bermacam tuduhan.
“Dia memalukan saya dalam media sosial dan bukan sahaja itu, Afiq juga memberi penderaan secara mental dan fizikal.
“Kalau dia sangat benci atau kerana sikap saya terlalu teruk, tolong lepaskan saya secara baik. Carilah isteri yang lebih baik dan boleh tahan dengan perkara yang dia lakukan kepada saya,” jelasnya lagi.
Ditanya sama keluarganya terkena tempias pergolakan rumah tangganya dan dakwaan ditabur oleh suami, Pachara bersyukur memiliki orang sekeliling yang banyak memberi sokongan.
“Alhamdulillah keluarga saya ada otak dan sangat profesional serta minta saya bertenang. Mereka boleh berfikir dengan sangat baik walaupun usia masih muda.
“Harap orang yang ada kena mengena sahaja (beri kenyataan). Hanya suami isteri yang tahu perangai masing-masing. Orang luar, sila jangan bercakap jika tak tahu apa-apa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Pachara juga menyifatkan kejadian penderaan secara fizikal yang didakwa dilakukan Afiq terhadap sebelum ini membuka mata untuk menuntut keadilan bagi pihaknya.
“Mungkin ini takdir Tuhan. Sampai nak kena patah-patah semua barulah buka mata. Kalau tak cedera mungkin saya akan terus maafkan,” ujarnya.
Peguam Syarie, Suriati Ab. Ghani berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada defendan (Afiq) lebih awal mengenai prosiding pendengaran permohonan tuntutan cerai secara fasakh yang berlangsung hari ini.
Katanya, pihaknya juga menemui jalan buntu selepas defendan menjawab panggilan dan meminta dirinya dicari tanpa berkongsi lokasi keberadaannya.
“Sejak awal kita failkan kes cerai secara baik dan sudah hubungi defendan (Afiq), dia jawab panggilan tetapi minta kami cari dia sendiri.
“Ini jelas menyusahkan pihak kami untuk mencari lokasi keberadaan dirinya. Jadi, sememangnya dia sendiri sudah tahu mengenai kes ini,” ujarnya.
Tambah Suriati, dia juga musykil dengan tindakan defendan yang berjanji untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik ketika tiba di mahkamah pagi tadi.
“Sebelum masuk prosiding hari ini, peguam defendan beritahu hendak selesaikan cara baik dan boleh lafaz cerai. Namun, bila masuk kamar mahkamah, cakap lain pula.
“Jadi, kes terpaksa berpatah balik semula dan perlu masuk pembelaan. Pada 15 Jun nanti, Pachara akan memberikan keterangan tambahan sekiranya ada, sebelum saksi memberikan keterangan mengenai defendan yang tidak menunaikan tanggungjawab memberikan nafkah,” jelasnya lagi.
Terdahulu, pada 29 Mac lalu, Pachara memberitahu suaminya langsung tidak memberi kerjasama untuk tuntutan perceraian tersebut selain tidak hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.
Sebelum ini, Pachara dalam satu pendedahannya memberitahu Afiq pernah mengasarinya sehingga mengakibatkan kaki serta jarinya patah.
Kenyataan tersebut kemudiannya meraih komen balas adik Afiq iaitu pelakon, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.
Tidak menunggu lama, Afiq kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dengkil pada 30 November tahun lalu bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah.
Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga.
Sumber: Kosmo! Online