Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Kalau Betul Sakit Kenapa Tidak Ke Hospital Dapatkan Rawatan, Kenapa Nak Guna Ganja?” Ameng Spring

Gempak 22/12/2022 | 08:50 MYT

Vokalis kumpulan Spring, Ameng, 54, beranggapan 'permintaan' penyanyi Yasin Sulaiman supaya kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dikaji semula adalah tidak wajar.

Ameng berkata, ganja yang tergolong dalam kategori dadah adalah mengkhayalkan dan bukannya ubat.
"Ganja itu dalam kategori dadah. Kalau nak cakap membantu dari segi perubatan banyak alternatif lain untuk tujuan itu. Kenapa nak kena gunakan ganja? Ganja itu menghayalkan dan bukannya ubat. Saya tahulah, sebab saya pernah terbabit dengan ganja.
"Ganja itu bukan ubat untuk menyembuhkan penyakit. Kalau nak berubat pergi jumpa pakar dan ambil ubat terkawal. Baru betul untuk perubatan. Kalau betul sakit, kenapa tidak ke hospital dapatkan rawatan? Kenapa perlu ke arah benda tu (ganja).
"Kalau dia (Yasin) kata nak minta kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada, nak cakap apa kepada keluarga pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman sebelum ini? Dalam penjara tu ada beratus yang ditahan atas kesalahan sama dan sedang menanti hukuman. Apa perasaan mereka dan keluarga mereka?"
"Macam saya yang sudah kena penjara dan 10 kali sebatan, apa perasaan saya? Buat yang kena gantung dan penjara seumur hidup, apa cerita?" katanya.
Tambah Ameng yang sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas kesalahan dadah pada 2011, tindakan melonggarkan hukuman sedia ada hanya akan menambahkan jumlah jenayah dan penagih dadah dalam negara.
"Kalau kata nak longgarkan undang-undang, habis jenayah macam mana? Adakah makin kurang atau bertambah? Sedangkan hukuman sedia ada pun orang tak takut. Malah, ada yang pernah dihukum dan kena sebat tak serik lagi. Masih buat jenayah sama dengan keluar masuk penjara.
"Saya tidak bersetuju jika nak bubar dan kaji semula undang-undang ini. Saya reda dengan hukuman yang dijatuhkan sebab saya tahu saya memang bersalah," katanya.
Untuk rekod, penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menambah baik undang-undang lapuk yang tidak menepati perkembangan dan peradaban termasuk kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 mengundang reaksi pelbagai pihak.
Yasin berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding kes dadahnya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Khamis lalu.
Sumber: Harian Metro
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#Yasin Sulaiman #Ameng Spring #Ganja
;