Laman Utama
“Kalau Ikut Umur Kak Chah Jalan Dulu Kot…” - Peminat Runtun Hati Baca Luahan Hati Misha Omar Terhadap Arwah Siti Sarah
Persembahan tribute terhadap allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang dijayakan oleh penyanyi Misha Omar pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) malam kelmarin membuatkan ramai yang terpegun.
Selain penyampaian dan vokal yang mantap, ramai antara penonton yang turut melahirkan rasa sayu, mengenangkan pemergian arwah ke negeri abadi pada tahun lalu akibat jangkitan COVID-19.
Usai persembahan, Misha sempat mencoretkan kenangan perbualannya bersama arwah sekitar 15 tahun lampau. Menurut Misha, mereka pernah berbual mengenai siapakah yang akan menyanyikan segmen tribute jika suatu hari nanti mereka pergi menghadap Illahi.
Sarah bertanya kepada Misha: "Kak Chah (panggilan Sarah kepada Misha) rasa, bila sampai masa kita, ada ke segment tribute untuk kita? Siapa yang akan menyanyikan lagu-lagu kita?”
Misha menjawab: “Kalau kita ada banyak hits, insya-Allah mesti ada. Selalunya segment tribute ni, mereka akan beri pada artis-artis baharu yang suara power dan famous. Banggakan? Tapi, kalau tengokkan umur kita berdua, Kak Chah yang jalan dulu kot. Kak Chah lagi tua dari Sahhh (panggilan manja Misha kepada Sarah). Kalau Kak Chah pergi dulu, Sahhh nyanyilah lagu kak Chah ok?"
Sarah kemudian menjawab: "Eh, tapi kalau tengok umur kita sebenarnya tak jauh kak. Kalau tua-tua nanti macam mana Sahhh nak nyanyi lagu Bunga Bunga Cinta? Mesti kena turunkan key banyak. Karang nanti dah tak bunyi menyanyi tu kak, itu dah macam bercakap.”
Misha menambah, benar kata orang yang kehilangan akan mengajar jiwa menjadi kuat saat digigit kenangan.
“Kenangan pahit mahupun manis dengan seseorang yang telah pergi tetap juga akan menyiat dan menyentap jiwa. Tugasan di AME 2021 malam tadi, amat berat untuk saya galas. Kerana hal ini pernah saya bualkan bersama allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.
“Setiap patah perkataan dalam lirik lagu Bersamamu hit me differently. Dilemma perasaan antara mahu menyanyi dan menangis tiba-tiba bersatu menjadi segumpal rasa tersekat di kerongkong, yang tidak juga saya temukan perkataan yg lebih tepat untuk menggambarkannya…sukar!
“Satu pengalaman yang tak akan saya lupakan. Impian allahyarhamah Allah kabulkan, ada segment tribute untuknya… Yang menyanyikan lagu hits beliau bukan calang-calang orangnya, Aina Abdul. Pasti dia bangga. Masakan tidak, saya sahabatnya hati turut berbunga mendengar alunan Aina begitu baik melalui Ke Hujung dunia. Semoga kalian terhibur, semoga nama allahyarhamah tidak lekang dalam Al-Fatihah, Yassin dan doa kalian... Al- Fatihah.