Hiburan
“Kalau Sesat Takkan Guna GPS Sebab Lambat, Tapi...” - Cucu Sambung Legasi Bapa & Datuk Jadi Posmen!
Pernah dikejar anjing, terpaksa berjalan kaki serta menerima lebih 20 surat cinta, pastinya antara pengalaman pahit dan manis yang akan dikenang oleh seorang bekas posmen, Miswan Surat, 68.
Biarpun tidak lagi berkhidmat, pengalaman warga emas ini pastinya menjadi aset berharga buat generasi baru.
Malah, meskipun telah bersara sejak beberapa tahun lalu, siapa sangka legasinya telah disambung oleh anak dan cucunya sendiri iaitu Ally Eimran, 47 dan Mohd Amierul, 24.
Menceritakan sedikit sejarah perkhidmatannya sebagai posmen, Miswan berkata, dia memulakan kerjaya itu pada tahun 1980.
Ketika itu, dia ditempatkan di Jalan Sultan, Petaling Jaya yang kemudiannya dipindahkan ke Sungai Buloh sebelum kembali semula ke Petaling Jaya.
“Pernah tak nampak budak-budak kejar posmen. Itulah saya dulu, memang minat sangat dengan pekerjaan posmen.
“Siapa sangka cita-cita saya tercapai nak jadi posmen sampai dah bersara pun,” katanya.
Menurut Miswan, jika dibandingkan dengan sekarang, jurang perbezaanya sangatlah besar.
“Kalau dulu kami terpaksa mengangkat karung berkilo-kilo, sekarang semuanya dah ada sistem lebih canggih. Pengangkutan pun hanya guna basikal.
“Dari segi keseronokkan juga mungkin sudah berbeza. Dulu kalau posmen dapat surat cinta tu normal. Orang belanja posmen makan pun perkara biasa, sekarang rasanya tiada lagi.
“Mungkin dulu hubungan orang ramai dengan posmen tu lebih mesra dan dekat,” katanya.
Sementara itu, anaknya Ally menjelaskan kerjaya posmen pada sekitar 1990-an agak mencabar kerana ketika itulah penghantaran surat menjadi medium utama khususnya ketika sambutan Hari Raya.
“Kalau dulu purata menghantar surat mungkin antara 2,000 hingga 3,000 sehari. Sekarang mungkin surat dah kurang sebab dah lebih kepada barangan atas talian,” katanya.
Bagi cucu kepada Miswan pula iaitu Mohd Amierul, biarpun sistem operasi Pos Malaysia semakin maju dan canggih, masih ada satu tradisi yang masih kekal diamalkan mereka sehingga hari ini.
Menurutnya, setiap kali pekerja baru melaporkan diri sebagai posmen, mereka haruslah menghafal nama jalan dan setiap lorong bagi kawasan yang ditugaskan.
“Memang kami dilatih untuk tidak menggunakan aplikasi GPS seperti Waze dan Google Maps. Apa yang kami tahu minda kamilah GPS.
“Pekerja baru akan dilatih mengikut rotasi kawasan untuk memahami selok belok jalan itu terlebih dahulu. Sebab itulah sampai sekarang teori untuk tanya posmen kalau sesat itu masih relevan.
“Kalau sesat sekali pun kami akan telefon rakan lain. Kalau GPS lambat, posmen tahu jalan shortcut,” katanya yang telah bertugas selama enam tahun.
Ketiga-tiga mereka ditemui dalam satu sidang media khas di Pos Mini PNM Shah Alam, baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri beberapa pekerja senior Pos Malaysia yang berkongsi pengalaman sepanjang bekerja.