Berita
“Kami Memang Rapat Dan Selesa Bersama Tapi…”- Diminta Jaga Batas Dengan Hefny Sahad, Ini Respon Elizad
Penyampai radio Sinar, Siti Elizad Sharifuddin akui terlalu selesa bersama Hefny Sahad selepas mereka berdua digandingkan di dalam Duo Sinar.
Bagaimanapun, hubungan mereka dilihat terlalu intim dan telah ditegur oleh peminat supaya Elizad menjaga batas sebagai seorang yang berstatus isteri orang.
Elizad bagaimanapun menerima komen-komen tersebut dengan positif dan menganggap ia respon yang baik daripada pendengar dalam segmen mereka Duo Sinar.
“Bila dah digandingakan bersama ni, saya akui kami memang rapat dan sebenarnya lebih kepada kawan-kawan yang suka bergaduh dan cari pasal sebab Hefny pernah kata dia tengok saya gurau macam orang lelaki.
“Saya selalu kemas kini aktiviti kami di Instagram Story. Jadi siapa yang mengikuti itu pasti nampak macam kami rapat sangat tapi sebenarnya saya masih tahu menjaga batas-batas sebagai seorang isteri.
“Tapi tak mengapa, saya terima sahaja komen dari peminat asalkan mereka juga tidak melampaui batas apabila memberikan komen,” katanya kepada Gempak.
Tidak dinafikan, Elizad memberitahu ada juga peminat yang sukakan hubungan yang terjalin itu sehingga merasakan mereka sepadan untuk berkahwin.
“Sebenarnya tak ramai yang tahu saya sudah berkahwin kerana saya tidak banyak memuat naik foto bersama suami. Bukan tak mahu, tapi suami tidak gemar berbuat demikian.
“Jadi kepada yang suka melihat keakbaran kami ni, ada juga yang mahu kami kahwin.
“Saya anggap ia perkara yang sangat lucu,” katanya lagi.
Pasangan ini bergabung dalam Duo Sinar yang keudara setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 3 hingga 7 petang.