Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Kami Nak Lagu & Video Raya Aliff Syukri Disekat" - Irama Buat Laporan Polis! Anggap Tak Sopan, Hina Baju Melayu

Gempak 04/04/2023 | 07:30 MYT

Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama) mahu berjumpa dengan Menteri Komunikasi Digital (KKD), Fahmi Fadzil dalam masa terdekat bagi membincangkan isu muzik video (MV) lagu raya terbaru usahawan Datuk Seri Aliff Syukri berjudul Cak Kun Cak Raya.

Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, ia berikutan muzik video ini dikatakan melanggar budaya dan tatasusila masyarakat Malaysia serta menghina kemuliaan bulan Ramadan.
"Saya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan pegawai yang bertugas mencadangkan agar saya membawa kes itu kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana akta yang ada sekarang terlalu longgar.
"Jadi dalam pertemuan dengan Fahmi nanti kami akan menggesa beliau agar membawa isu ini ke parlimen agar akta Seksyen 294 (a) dan 294 (b) digubal semula.
"Kita juga berharap KKD dapat membincangkan isu ini di parlimen seterusnya denda tinggi dikenakan termasuk hukuman penjara bukan sahaja kepada Aliff tetapi juga kepada pencipta kandungan lain yang melakukan perkara sama," katanya ditemui pada sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.

Denda pelaku agak ringan

Ayob berkata, perkara ini berulang kerana hukuman dan denda yang dikenakan terhadap pelaku agak ringan.

"Kebanyakan hari ini mereka tidak takut dengan denda yang ada. Jika tidak dibendung, lebih banyak video yang bukan-bukan akan dihasilkan.
"Jika dilihat, penampilan ahli perniagaan itu bersama lima penari dalam muzik video terbabit memang keterlaluan.
"Kami bukan menyentuh peribadi Aliff atau lagu ini kerana ia sebuah lagu yang bagus, tapi muzik videonya itu memang tidak sesuai untuk tontonan semua terutama generasi muda," katanya.

Sekat lagu, muzik video Aliff Syukri

Menurutnya, Irama pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memberikan promosi percuma kepada usahawan itu.

"Dah tentulah ada keuntungan terhadap Aliff. Tapi kami didesak oleh orang ramai serta ahli-ahli sendiri yang tidak mahu perkara ini berleluasa.
"Gelagat Aliff dan lima penari yang berpakaian baju Melayu ketat terkinja-kinja juga dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum selain merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.
"Kami mahu KKD bertindak terhadap usahawan kontroversi itu selain menyekat lagu dan video terbabit daripada disiarkan.
"Tindakan Aliff Syukri menyalahi undang-undang. Muzik video ini bukan saja pakaiannya menghina baju Melayu, malah ia juga tidak sesuai dipertontonkan terutama dalam bulan yang mulia ini," katanya.

Kesal kenyataan Aliff Syukri

Ayob turut kesal dengan kenyataan Aliff mempertahankan konsep muzik video Cak Kun Cak Raya sebagai sekadar seni dan hiburan.

"Baginya dia bukan berbogel atau beraksi seksi dan tidak melihat wujud isu pun pada MV terbabit. Tapi bagi kami perlakuannya sangat keterlaluan," jelas Ayob.
Terdahulu, tahun lalu, Aliff turut menimbulkan isu yang sama apabila muzik video berjudul Kelepok Raya nyanyiannya turut mengundang kontroversi sehingga mendapat kecaman ramai.
Muzik terbabit menampilkan sekumpulan penari lelaki yang berperwatakan lembut selain wajah mereka turut disolek.
Disebabkan itu, Aliff dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung klip muzik video terbabit, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber: Harian Metro

#Viral #Aliff Syukri #Muzik Video #Polis #IRAMA #Cak Kun Cak Raya #Dang Wangi #Konsortium
;