Laman Utama
Kanak-Kanak Bangladesh Diselamatkan Terkunci 6 Hari Dalam Kontena
Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang, malam semalam.
Kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.
Video mengenai penemuan kanak-kanak ini dikesan tular di media sosial selepas terkunci dalam kontena berkenaan selama lebih kurang enam hari.
Kandungan video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan.
Berdasarkan maklumat sumber, salah seorang kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu.
Berdasarkan siasatan awal kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.
Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan turut menjalani proses dokumentasi.
Sumber turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama hari ini.
Sumber: Harian Metro