Laman Utama
Kanak-Kanak Nyaris Dihanyutkan Kepala Air, 2 Jam Duduk Atas Batu Besar Tengah Sungai Sebelum Diselamatkan
Seorang kanak-kanak lelaki nyaris dihanyutkan arus deras selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Dipang Kampung Sahom, Kampar, Perak, pada Khamis.
Kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit terperangkap hampir dua jam di kawasan batu di tengah sungai sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Hisyam Zakariah berkata, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 3.59 petang.
Menurutnya, aliran sungai ketika itu sangat deras dan keruh sementara mangsa berada di atas batu di tengah sungai.
"Anggota menggunakan tali khas dan menyeberangi sungai untuk mendapatkan mangsa sejauh lapan meter untuk dibawa ke tebing sungai.
"Operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira satu jam dan mangsa yang dipakaikan jaket keselamatan berjaya dibawa ke tebing dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Beliau berkata, maklumat awal mengatakan kanak-kanak itu tidak sempat naik ke tebing untuk menyelamatkan diri kerana arus deras.
Katanya, mangsa difahamkan datang ke sungai itu untuk mandi bersama ahli keluarganya sebelum paras air naik mendadak disebabkan hujan lebat.
"Arus terlalu deras menyebabkan anggota perlu berhati-hati untuk menyeberangi sungai. Alhamdulillah operasi berjaya dan mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan sebelum diserahkan semula kepada keluarganya," katanya.
Sumber: Sinar Harian