Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Kanak-Kanak Penghidap Leukemia Menangis Sebut Nama Aiman Tino Ketika Kemoterapi

Fiza Kamarudin 08/02/2017 | 07:23 MYT
Bapa seorang kanak-kanak perempuan penghidap leukemia, berhasrat untuk menemukan anaknya itu dengan penyanyi Aiman Tino.
Bapa kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Mohd Zulkarnain Abu Hassan, 42, berkata, anaknya, Ainul Mardhiah, 3, merupakan peminat tegar Aiman Tino sejak awal kemunculan penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu lagi.
“Sudah setahun anak saya disahkan menghidap kanser leukemia dan setakat ini sudah lima kali air tulang sumsum Ainul diambil.
“Sepanjang tempoh tersebut Ainul turut menjalani rawatan kemoterapi dan saya terkejut apabila dia menangis menyebut nama Aiman Tino sambil memberitahu dia kesakitan.
“Sebelum ini Ainul memang selalu menyanyikan lagu-lagu Aiman Tino dan dari situlah saya tahu dia sangat meminati penyanyi tersebut,” katanya ketika di hubungi Astro Gempak.
Menurut Zulkarnain lagi, isterinya Khairani Fawzi, 35, berhenti kerja sejak setahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada anak bongsu mereka itu.
“Isteri terpaksa berhenti kerja kerana mahu memantau kesihatan Ainul dan mudah baginya untuk berulang-alik membawa Ainul ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Lagipun dia (isteri) kata, mudah untuknya menemani Ainul di wad,” katanya sebak.
Dalam pada itu Zulkanain sempat berseloroh dan memberitahu jururawat dan doktor di wad pediatrik mengenali Ainul dengan nama Aiman (Aiman Tino).
“Doktor dan nurse dah panggil Ainul dengan nama Aiman Tino kerana dia selalu beritahu kepada mereka yang dia mahu berjumpa penyanyi itu.
“Saya dapat rasakan Ainul akan sangat gembira jika dapat bertemu Aiman,” ujarnya.
#Viral #Aiman Tino #Viral #Leukemia
;