BERITA
Kandungan Terlalu Aktif, Yatt Hamzah Dedah Bacaan Denyutan Jantung Bayi Cecah 183
Pelakon Yatt Hamzah yang sedang menghitung hari menunggu hari bersalin memberitahu bahawa bayi dalam kandungannya kini berada berada dalam keadaan cukup aktif.
Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 39, berkata, situasi itu secara tidak langsung menjadikan bacaan denyutan jantung bayinya berada pada paras yang agak tinggi.
"Alhamdulillah, bayi dan bonda sihat, cuma bayi terlebih aktif.
"Tak berhenti pergerakannya sampaikan bacaan denyutan jantungnya 183, tinggi betul masa buat pemeriksaan mingguan baru-baru ini. Ya Allah, Kau jagalah bayi dalam kandunganku ini," tulisnya menerusi satu entri di Instagram.
Yatt turut berkongsi gambar terkini dirinya yang sedang sarat mengandung anak keempat.
"Haa, nampak kan betapa saratnya mak buyong ni. Tu yang jarang kongsi gambar penuh sendiri sebab kembang sana situ sini. Malas nak tengok diri sendiri," ujarnya.
Begitupun, Yatt masih merahsiakan lagi jantina bayi yang bakal lahir nanti.
Sungguhpun begitu, ramai yang menjangkakan pelakon drama Dunia Baru itu bakal melahirkan bayi lelaki.
"Kemungkinan sis rasa bayi lelaki sebab terlebih aktif tu. Sis dulu mengandung yang bayi lelaki sis dalam perut terlebih aktif. Semoga Allah permudahkan segala urusan Yatt," komen salah seorang pengikutnya.
Yatt sebelum ini mengumumkan dirinya disahkan hamil pada bulan Ramadan lalu.
Yatt mendirikan rumah tangga dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khairuddin pada Februari 2016.
Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Suci Humaira Iqlima, 3 dan Suci Hayfaa Medina berusia setahun.
Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Shukor, Yatt mempunyai seorang anak perempuan Suci Hanania Malika yang kini berusia tujuh tahun.
Must-Watch Video