Laman Utama
“Kanser Saya Hilang!!!!” - Elyana Kongsi Berita Gembira, Perjuangan 11 Tahun Berhasil!
Penyanyi Elyana berkongsi khabar gembira apabila penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya selama 11 tahun telah hilang.
Menerusi laman sosial Instagram, Elyana nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, memuat naik sekeping foto dan video hasil imbasan badannya bersama doktor untuk tatapan umum.
Menurut Elyana, dia bersyukur apabila perjuangan dan penantiannya melawan penyakit ini membuahkan hasil.
“Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur saya dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil!!!! Kanser saya hilang!!!!
“Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih Ya Allah, kau telah mendengar doa kami.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya. Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat. I love you Allah,” tulis Elyana di ruangan kapsyen.
Menerusi ruangan IG Story juga, Elyana memaklumkan dia kini sedang menjalani rawatan kemoterapi buat kali kelima.
Difahamkan kali pertama dia melakukan rawatan kemoterapi adalah pada sekitar September lalu.
Sementara itu di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan wargamaya meraikan berita gembira tersebut dengan doa dan kata-kata semangat.
Tidak kurang juga ramai yang mahukan pelantun lagu Niat itu terus menjadi inspirasi buat pejuang-pejuang kanser untuk melawan penyakit tersebut.
“Allahuakbar, syukur ya Allah, i'm so happy for you adik,” tulis Datuk Aznil Haji Nawawi.
“Alhamdulillah, berkat doa kak dan semua rakyat Malaysia. Sama-sama doakan kak Elyana sehingga sepenuhnya,” ujar seorang wargamaya.
“Alhamdulillah, semoga terus sihat dan jadi inspirasi untuk fighter lain ameen,” luah seorang wargamaya.
“Alhamdulillah kak! Teruskan berusaha. Semoga menjadi inspirasi pada mereka yang sama-sama menentang kanser ni,” kongsi seorang wargamaya.
“Syukur ya Allah, tiada yang mustahil dengan kuasa Tuhan. Ameen,” kata seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 30,000 tanda suka daripada pengikutnya.
Sekitar Disember tahun 2020, Elyana memaklumkan kanser itu telah menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.
Terdahulu, Elyana membuat pendedahan mengenai penyakit kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.