Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Karang Lagu ‘Sheenta’ Untuk 'Crush', Gadis Mana Yang Buat YonnyBoii Angau? - “There’s story behind everything!”

Fiza Kamarudin 21/12/2020 | 03:11 MYT
Penyanyi emo-rap popular Yonnyboii menampilkan sisi lain dirinya apabila menggarap elemen cinta dalam lagu ‘Sheenta’ dan dimuatkan dalam album E.P terbarunya.
Penyanyi kelahiran negeri Perak ini berkata, ‘Sheenta’ adalah sebuah lagu yang berkisahkan tentang seorang lelaki yang sedang angau dan mabuk cinta pada seorang gadis.
“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya.
“Menerusi lagu Sheenta juga dia mengisytiharkan rasa cinta pada buah hatinya itu dengan penuh rasa ikhlas dan tulus,” kata Yonny tersenyum.
Dalam pada itu Yonny berkata, album E.P ini berjudul ‘Yonny’ pasti akan mengubat kerinduan terhadap para peminatnya.
‘Yonny’ sebuah naskah yang akan mengungguli carta-carta muzik tempatan, tampil dengan sembilan buah lagu, padat dengan lontaran vokal penuh Yonnyboii yang menantikan buah tangan bintang pujaan Malaysia ini.
“Menerusi album E.P ini saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri saya sebenar dengan menyatakan kejujuran setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung menerusi lagu-lagu saya sampaikan.
“Apa saya boleh nyatakan, album ini sarat merencanakan warna-warni seni Yonny, bak pelangi. Sebuah penceritaan sebelum dan selepas, ibarat rangka yang dibina untuk mengukuhkan pelengkap karya dalam album penuh selepas album E.P.
“Ibaratnya album E.P. Yonny adalah rangka sebelum manakala album penuh bakal terbit nanti pula merupakan binaan selepas yang telah lengkap strukturnya” jelasnya.
Rentetan kejayaan demi kejayaan, tanpa memandang ke belakang, Yonnyboii terus melangkah mengulangi semula formula kejayaan dengan bekerjasama penerbit-penerbit yang dipertanggungjawab membantunya sebelum ini.
“Bagi saya, tak susah nak hasilkan album E.P. apabila dapat bekerja secara profesional dengan orang yang kita percayai.
“Sesunguhnya, terus-terang saya nyatakan kalau boleh saya nak buat semuanya sendiri, susah sebenarnya sebelum ini kerja-kerja seni saya dapat sentuhan orang lain.
“Namun selepas pengalaman kejayaan lalu, serta kualiti yang ada pada produser-produser ini menepati kehendak saya, saya rasa tidak salah untuk membina keyakinan dan mencipta semula kejayaan seperti sebelumnya,” kata Yonny.
Mengambil masa kurang empat minggu ketika musim pandemik, sebanyak 80 peratus lagu-lagu dalam album E.P ini merupakan lagu-lagu yang pernah dirakamkan tetapi digubah semula dengan sentuhan penambahbaikan kualiti rakaman luar biasa.
Enam orang penerbit berbakat besar seperti Adam E, Freddie Laut, zachsutton, Vincent88, Mingaling dan Wolfie menjadi tunjang kepada pembikinan lagu-lagu seperti Salahku, Salahku 3.0, Pelikk, Bayang, Hidup Giler, Sheenta, Sheenta With Shee, Boleh Bla, Aku Itu Aku.
Lagu Bayang misalnya mendapat sentuhan penerbit Adam E, penggubah lagu muda yang telah banyak menerbitkan lagu-lagu hit Yonnyboii sehingga menjadi siulan anak muda hari ini.
“Harapan saya tidaklah terlalu tinggi, saya cuma minta pendengar menghayati sendiri setiap karya terhasil untuk mengenali siapa Yonnyboii.
“Setiap album baik album E.P sekalipun terkandung kisah perjalanan cerita hidup saya diterjemahkan dalam bentuk muzik, tersusun rapi untuk dikongsi secara eksklusif kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong saya.
“There’s story behind everything!”, katanya teruja.
Album E.P berjudul ‘Yonny’ diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia boleh didengari semua pelantar muzik bermula 18 Disember 2020.
#Sakit #Penyanyi Rap #Album E.P #Karya Agung #Rap Emo #Sheenta #YonniBoy
;