Berita
Karnival Rakyat Prihatin Meriah, Bantu Golongan Memerlukan & Meriahkan Komuniti
Karnival Rakyat Prihatin, anjuran Extreme Visionary Venture (EVV), telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Ibu Kota pada Sabtu lalu.
Acara sehari ini, dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Mohd Shafei bin Abdullah, Ahli Lembaga Penasihat DBKL, menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan bantuan kebajikan kepada masyarakat setempat.
Menurut Pengarah EVV, Julianah Ishak, karnival ini bertujuan membantu golongan memerlukan serta memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan.
"Sempena pembukaan sekolah tidak lama lagi, kami mengambil kesempatan untuk memberi sumbangan kepada anak-anak asnaf. Kami juga telah mengedarkan bakul makanan kepada golongan asnaf di sekitar Gombak," katanya.
Sebanyak 30 gerai disediakan di bawah inisiatif Jualan Rahmah.
Karnival ini dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti Zumba, pertandingan karaoke, sukaneka rakyat, dan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak. Kehadiran artis popular seperti Zaiton Sameon dan Mac Ruhayu turut menghiburkan pengunjung dengan persembahan mereka.
Program ini mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dan swasta, termasuk Mapim Gombak, DBKL, XFOX Niaga, dan KRT Taman Ibu Kota.
Agensi seperti Jabatan Bomba, PDRM, JPJ, JPAM, Perkeso, LPPKN, dan Pusat Darah Negara turut serta dalam pameran sepanjang karnival.