Kawasaki Malaysia tawar dua minyak pelincir untuk enjin berkapasiti besar
Sejak kali pertama memperkenalkan Kawasaki Genuine Oil (KGO) pada hujung tahun lalu, kini Kawasaki Motor (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) melancarkan pelincir barisan baharu yang mempunyai gred lebih tinggi.
Ini bermakna, pelincir itu hadir dengan piawaian sintetik penuh yang ditawarkan dua jenis iaitu KGO Torq R7 (SAE 10W 40 API SN) dan KGO Torq R9 (SEA 10W 50 API SN).
Kedua-dua pelincir itu dihasilkan 100 peratus daripada Polyalphaolefin (PA0) yang menerima bahan campuran istimewa untuk enjin bersesaran tinggi.
Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya berkata, pengenalan dua minyak pelincir yang dihasilkan daripada PAO itu adalah bagi pelanggan yang menunggang jentera berprestasi tinggi dengan jarak tunggangan jauh.
“Adanya bahan PAO itu, ia memberi kelikatan yang lebih tinggi dan akan memberi prestasi enjin lebih baik dengan pengurangan geseran.
“Pada masa sama, ia akan memberi pelindungan maksimum kepada enjin dengan pengurangan pengoksidaan,” katanya.
Berhubung harganya pula, harga cadangan runcit bagi KGO Torq R7 adalah RM76, manakala RM78 bagi KGO Torq R9.