Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Kecoh Isu Lirik Lagu 'Denyut' & 'Degup', Ramli Sarip; "Nak Cakap Pasal Benda Kreatif Ni..."

Maliah Surip 31/07/2022 | 08:50 MYT

Beberapa minggu kebelakangan ini kecoh apabila penggunaan perkataan dalam sebuah lirik lagu yang sedang popular diperdebatkan. Ia adalah lagu Casablanca dengan penggunaan perkataan denyut dan degup.

Dari perspektif seorang tenaga pengajar, penggunaan perkataan meski diguna dalam lagu haruslah tepat agar para pelajar tidak keliru atau menggunakan perkataan yang betul dalam sesi persekolahan.
Bagaimanapun ada pendapat lain pula mengatakan lirik atau perkataan dalam lagu biasanya mempunyai seni tersendiri. Ia kadang mengandungi metafora atau simbolik yang bukan bersifat jelas seperti pelajaran di sekolah.
Meminta pandangan mengenai polemik tersebut kepada pesohor seni dan seniman Datuk Ramli Sarip, penyanyi yang memiliki untaian lirik lagu penuh metafora dan simbolik tersendiri itu cukup cermat memberikan buah fikiran.
Ramli pada awalnya menjawab: “Saya mahu jawab pun saya tak mengerti sangat.”
Simbolik makna terselindung
Namun beliau yang sangat disegani dan dihormati ini akhirnya melahirkan sedikit pandangan dengan mengatakan untuk berbahas mengenai benda kreatif, ada banyak rahsia yang kita tidak tahu.
“Saya kurang arif, tapi bercakap mengenai benda kreatif, jika kita kaji bahasa lain pun, sebenarnya kita tak tahu apa rahsia yang dia (penulis lirik) mahu ceritakan.
“Secara peribadi misalnya untuk lirik lagu saya seperti ‘Andai kasturi hilang harum, mawar tak berkuntum’ itu juga sukar ditafsirkan. Sama macam lagu Nyanyian Sejagat, lagu baharu saya yang punya simbolik terselindung,” hujah Ramli penuh berhati hati.

Denyut atau degup?

Dalam temubual sama, Ramli kemudian mengatakan, secara peribadi beliau berasa penggunaan ‘denyut’ dan ‘degup’ boleh diguna pakai.

“Apa yang penting adalah keterbukaan yang sihat, yang boleh diterima dan boleh dihujah dengan logik.
“Jadi terpulang. Saya secara peribadi berasa kedua duanya boleh diguna pakai asalkan penulisnya boleh bertanggungjawab dan paling penting apabila orang tanya, kita ada jawapannya,” tambah Ramli lagi.

Makan malam Ramli Sarip

Ramli ditemui di Villa d’ Acqua di Masjid Tanah, Melaka sempena melancarkan dewan muzik Malacca Music Hall yang bersifat eksklusif seperti pakej berhibur disertakan dengan makan malam.

Malacca Music Hall ini merupakan inisiatif pihak bersendirian dalam usaha mendukung visi dan menyumbang kepada perkembangan pembangunan industri muzik tanah air khususnya Melaka.
Selain diberi penghormatan melancarkan pembukaan Malacca Music Hall secara rasmi, Ramli Sarip juga menjadi penyanyi pertama yang melakukan persembahan eksklusif kepada 150 orang peminat setia pada sebelah malam.
Tidak pernah menghampakan dengan kepakarannya sebagai pelaku seni yang bijak berbicara, lantunan suara emas Ramli didendangkan sehingga lebih 16 buah lagu.
Beliau antaranya mendendangkan tembang hitnya dari Zakia, Jangan Lama Lama, Kamelia, Keliru dan Teratai.
Pada persembahan sama, Ramli tidak terlepas memperkenalkan untuk kesekian kalinya lagu dari album terbaharu, Rasa, termasuk Cinta Di Sebalik Musim yang menjadi tema bagi konsert jelajahnya yang bakal bermula di Johor Bahru pada 7 Oktober depan.

#Viral #Ramli Sarip #Daqmie #Nuha Bahrin #Lirik #Casablanca #Degup #Denyut
;