Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Kecoh Tentang ‘Unknown Cash’ Dianggap Judi Dalam PUBG, Ini Penjelasan Sebenar Gamers Perlu Tahu!

Hanafis Haris 14/10/2021 | 23:01 MYT

Hukum membabitkan permainan Player Unknown's Battle Ground (PUBG) sekali lagi menjadi perbincangan ramai.

Kali ini isu yang berbangkit adalah mengenai sistem Unknown Cash (UC) yang dianggap sebagai judi oleh sesetengah pengguna.

Bagi mendapatkan UC, seseorang itu hendaklah menambah nilai menggunakan wang yang sebenar.

Persoalannya apakah hukum melakukan transaksi sedemikian?

Menurut satu penjelasan dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram.

Ini kerana ia mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen ‘zero-sum game’ iaitu bergantung kepada nasib semata-mata.

Malah, ia juga menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.

“Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut.

“Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.

“Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.

“Utamanya, pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat.

“Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian,” jelas kenyataan itu lagi.

Anda boleh lihat penjelasan penuh di sini.

Difahamkan, sebelum ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan PUBG secara umum hukumnya adalah makruh sekiranya tidak mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Syarak.

Namun begitu, hukum keharusan tersebut boleh berubah sekiranya terdapat elemen lain yang dilarang Syarak seperti mengabaikan perintah Allah, bermain terlalu lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai individu Muslim, mempunyai unsur perjudian, maksiat dan sebagainya.

#Viral #PUBG #Haram #UC
;