Hiburan
"Kejam! Tergamak Guna Isu Sakit Saya Demi Nak Dapat View" - Anita Baharom Terkilan Difitnah Sedang Terlantar Gara-Gara...!
Pelakon Anita Baharom terkilan apabila munculnya sebuah video di YouTube yang menyebarkan fakta tidak betul berhubung situasi terkini kesihatannya.
Tambah memburukkan keadaan, tajuk yang digunakan itu seakan menimbulkan fitnah apabila mendakwa Anita kini sedang terlantar.
Menceritakan kepada Gempak, Anita berkata dia terkejut apabila secara tiba-tiba dihubungi oleh saudara mara, jiran serta komuniti masjid mahu menziarahinya.
"Saya waktu tu ada di luar, tiba-tiba ramai yang telefon kata nak datang ziarah. Bukan saja kakak, sampai geng masjid pun kata nak ziarah.
"Rupanya, mereka datang tu selepas tonton video di YouTube bertajuk 'Terlantar Sakit, Netizen Terkejut Dan Tak Sangka Lihat Keadaan Anita Baharom Sekarang'.
"Terkejut la saya bila masa pula saya terlantar," katanya.
Menurut Anita, bukan hanya tajuk yang digunakan keterlaluan, malah saluran YouTube itu turut menggunakan gambarnya yang baru melahirkan anak di ward pada enam tahun lepas untuk mensensasikan video tersebut.
"Channel ini tidak pernah interview saya, hanya mengambil dari pihak lain tanpa kebenaran. Kejam! tajuk yang mengelirukan telah membuat saya sangat sedih.
"Boleh ya mempermainkan keadaan kesihatan orang macam ni.
"Saya positif dan lawan sakit saya ni kerana Allah, saya kuatkan semangat lawan sakit saya senang-senang je pihak ini gunakan tajuk tentang sakit.
"Kalau nak jadi wartawan tolong laa jadi wartawan yang beretika dalam membuat laporan. Jangan buat kerja mudah hanya mengambil hasil kerja orang," katanya,
Tambah Anita, buat semua rakan dan sahabat terdekat termasuk di media sosial diharapkan tidak terpedaya dengan fitnah video tersebut.
"Saya sekarang dalam keadaan sihat tidak terlantar seperti tajuk artikel di atas.
"Yaa saya pejuang SLE, cerita tentang saya sakit tak boleh jalan tu semua berlaku sebelum-sebelum ni yang mana sekarang alhamdulillah Allah berikan kesihatan pada saya sedikit demi sedikit.
"Masih ada sakit tapi bukan laa sekarang ni tengah terlantar. Mohon doakan saya sembuh sepenuhnya kuasa Allah siapa yang tahu.
"Terima kasih atas doa kalian saya doakan Allah berikan kebaikan buat anda juga," katanya.