Laman Utama

Kekangan PKP 3.0, Drama Hati Yang Dikhianati Terpaksa Direhatkan! Bakal Diganti Dengan Derita Untuk Bahagia Bermula 7 Jun Ini!

Hanafis Haris
04/06/2021
05:27 MYT
Sponsor Banner
Kekangan PKP 3.0, Drama Hati Yang Dikhianati Terpaksa Direhatkan! Bakal Diganti Dengan Derita Untuk Bahagia Bermula 7 Jun Ini!

Pihak Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. mengambil keputusan menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi Hati Yang Dikhianati (HYD) yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara.

Keputusan itu dibuat susulan perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, perubahan itu akan memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan, 7 Jun 2021.

Drama bersiri terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, demi keselamatan bersama dan langkah berwaspada untuk mengelakkan sebarang risiko serta masalah jangka panjang, pihaknya akur dengan perlaksanaan sekatan skala penuh yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Melihat kepada peningkatan kadar kes aktif semasa yang kini berada di peringkat kritikal, keputusan tersebut tidak mengejutkan dan sudah dijangka awal.

“Selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama ‘HYD’ berkuatkuasa serta merta ini juga merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kami untuk memutuskan rantaian Covid-19’.

“Pihak Astro kini dalam usaha menyusun jadual baharu untuk sambungan drama tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa pandemik.

“Selain aspek keselamatan, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi, kesesuaian tarikh dan garis masa, syarat SOP yang lebih ketat dan sebagainya perlu dipertimbangkan,” katanya.

Untuk makluman, drama ‘HYD’ mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut.

Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa.

Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Drama ‘HYD’ diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar.

Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor serta ramai lagi.

Sebarang keputusan terkini berkenaan sambungan drama ‘HYD’ akan diumumkan kemudian.

Get Outlook for iOS
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar