Laman Utama
Keluarga Reda… Abang Stacy Meninggal Dunia
Abang penyanyi Stacy Anam iaitu Chaq, 35, yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Mac lalu meninggal dunia pada jam 3.30 pagi tadi di Hospital Sibu, Sarawak.
Berita pemergian Chaq atau nama sebenarnya, Camellus Delleli Anam disampaikan adik lelakinya, Aldrich Andy Anam.
"Abang saya sudah tiada. Jantungnya terhenti sekitar pukul 3.30 pagi,," katanya.
Selain Aldrich, turut berada di sisi Chaq semasa mendiang abangnya itu menutup mata buat kali terakhir ialah ibu mereka Agnes Carlos.
Kata Aldrich, mereka sekeluarga reda dan berlapang dada menerima takdir itu.
“Mak okey dan kami (sekeluarga) reda dan berserah sejak Chaq masuk hospital lagi,” ujar Aldrich lagi.
Buat masa ini, mayat Chaq, jelas Aldrich, masih berada di Hospital Sibu dan mereka sekeluarga akan menguruskan membawa mayat kembali ke kampung halaman di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah untuk urusan pengebumian.
Menurut Aldrich juga, kakaknya, Stacy pula dijangka tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur esok bagi bersama-sama keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Chaq.
Mendiang Chaq terlibat dalam kemalangan di Bintangor, Sarawak sehingga mengakibatkan dia mengalami pendarahan dalam kepala.
Susulan tragedi itu, Chaq yang juga peserta sebuah program realti dan penyanyi sambilan bertarung nyawa di hospital walaupun sudah menjalani dua pembedahan disebabkan pendarahan itu.
Beberapa organ dalaman Chaq mengalami gangguan antaranya masalah jantung selain hati dan limpa mengalami luka.
Beberapa hari lalu, Stacy turut meminta doa ramai berharap agar abangnya terus kuat berjuang dan kembali sihat seperti sedia kala.
Sumber: Astro Awani