Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Keluarga Terima Pampasan Anak Dibuli Di Sekolah RM127 Juta, Termahal Dalam Sejarah

Maliah Surip 22/09/2023 | 12:40 MYT
Penjaga kepada seorang mangsa buli yang meninggal dunia pada tahun 2019 menerima sebanyak RM127 juta sebagai pampasan.
Pampasan sebesar RM127 juta tersebut didakwa sebagai yang terbesar dalam sejarah untuk kes berkaitan buli.
Keputusan pampasan tersebut diberikan oleh Moreno Valley Unified School District, California, Amerika Syarikat kepada penjaga mendiang Diego Stolz, Juana dan Felipe Salcedo baru-baru ini.
Stolz meninggal dunia selepas diserang dan dibuli dengan teruk orang rakan di sekolahnya, Landmark Middle School di Moreno Valley, California pada 16 September 2019.
Dia hanya berusia 13 tahun sewaktu meninggal dunia.
Mengikut fakta kes, Stolz telah ditumbuk di kepala oleh dua orang pelajar lelaki sebelum terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai. Insiden tersebut membuat remaja tersebut mengalami kecederaan pada bahagian otak.
Remaja lelaki tersebut tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia sembilan hari kemudian.
Saman hanya difailkan pada 2020 selepas keluarga tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan sekolah.
Mereka mendakwa sudah memaklumkan Stolz telah dibuli sebelum ini namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak sekolah.
Menerusi saman yang dikeluarkan kepada Moreno Valley Unified School District, keluarga juga menegaskan pihak pengurusan tidak pernah mengambil serius atau mengambil langkah untuk membendung masalah buli yang terjadi di sekolah.
“Keluarga akan selamanya terasa kehilangan Diego tetapi dengan kemenangan ini kami berharap dapat membawa pembaharuan dan menjadikan pihak sekolah lebih peka.
“Sekolah kena sedar bahawa buli tidak boleh dibenarkan di sekolah dan perlu dipandang serius,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak keluarga seperti dilaporkan lawandcrime.com.
Juana dan Felipe Salcedo adalah penjaga kepada remaja malang tersebut selepas kematian ibu bapanya.
#Meninggal Dunia #sekolah #Buli #Pelajar #Pampasan
;