Hiburan
Kembalikan Memori Too Phat, Joe Flizzow Muatkan Elemen Gamelan Dalam Lagu Baharu
Mengimbas kembali kenangan bersama duo Too Phat bersama Malique, penyanyi rap Joe Flizzow mendedahkan bakal mengeluarkan single terbaharu yang disuntik elemen muzik gamelan.
Kata Joe, pemilihan gamelan untuk single berbahasa Melayu terbaharunya itu dirasakan bersesuaian dengan mood dan hala tuju lagu tersebut.
"Saya teruja untuk berkongsi dua buah lagu bahasa Melayu yang akan dikeluarkan menjelang Mac nanti dan salah satunya menampilkan penyanyi undangan iaitu Alif Sleeq.
"Uniknya lagu-lagu ini kerana saya menggunakan elemen nusantara dalam muzik moden.
"Memandangkan saya seorang peminat alat muzik gamelan, lagu-lagu itu akan menggunakan instrumen itu seperti yang pernah dimuatkan dalam lagu-lagu Too Phat sebelum ini," katanya ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta jam tangan mewah, Hublot di St. Giles Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bomoh misalnya antara lagu Too Phat yang pernah menggunakan alat muzik gamelan.
Sementara itu kata Joe, gamelan dipilih kerana mempunyai unsur-unsur mistikal yang tersendiri.
"Instrumen ini ada sisi mistikal dan aura tersendiri. Sebab itu saya mengangkat semula alat muzik itu dalam lagu akan datang," ujarnya.
Kedua-dua lagu yang masih belum dipilih judulnya itu akan menjalani penggambaran muzik video pada awal Februari.
Hujung tahun lalu, Joe mencetuskan kontroversi menerusi single berbahasa Inggeris, Drop, yang menampilkan imej seksi wanita berbikini.
Teks oleh: Amri Hassan