Laman Utama
Kenang Arwah Ayah Meninggal Lepas Pandai Baca Yasin, Nabil: “Aturan Allah Maha Cantik”
Penyampai radio ERA, hos dan personaliti terkenal, Nabil, mengaku hanya pandai seterusnya lancar membaca surah Yassin pada perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID 19 sekitar dua tahun lalu.
Walaupun sewaktu itu dia sudah berusia 38 tahun, namun kata Nabil yang mengendalikan segmen 3 Pagi ERA bersama Radin dan Pak Azad, dia langsung tidak pandai membaca Yassin.
Namun selepas keluar belajar agama dan berazam untuk menguasai pembacaan Al Quran, Nabil akhirnya berjaya dan dapat mengaji dengan baik.
Kata Nabil salah satu pendorong buat dirinya untuk mendekatkan diri dengan Al Quran dan dapat membaca surah Yassin adalah apabila mengenang soal kematian.
“Saya ini buta huruf, tak tahu mengaji. Nak baca Yassin pun tak tahu. Saya fikir nanti mati macam mana.
“Saya fikir juga kalau ibu atau bapa saya meninggal dunia, siapa nak bacakan Yassin untuk mereka? Jadi saya tekad belajar. Hari hari belajar. Telefon ustaz, ikut kelas online dan datang ke kelas, hari harilah,” katanya kepada Gempak.
Cerita hos Gegar Vaganza itu lagi, ajaib dan sayangnya Allah kepada dia terbukti sebaik dia dapat menguasai bacaan Yassin.
“Sebaik saya dapat menguasai bacaan Yassin, abah meninggal dunia. Subhanallah aturan Allah sangat cantik. Saya dapat baca yassin untuk arwah,” kenang Nabil.
Bapa Nabil, Ahmad Ismail menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 kerana komplikasi jantung.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.