Berita

Kenderaan Rasminya Didakwa Ekori Rapat Ambulans, Nga Kor Ming Sedia Beri Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa

Izwan Isa
09/02/2024
15:55 MYT
Sponsor Banner
Kenderaan Rasminya Didakwa Ekori Rapat Ambulans, Nga Kor Ming Sedia Beri Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan insiden kenderaan rasmi dinaikinya yang didakwa mengekori rapat ambulans dalam kecemasan baru-baru ini.
Jelas Ahli Parlimen Teluk Intan itu lagi, beliau dalam masa turut bersedia untuk membayar kompaun kesalahan bagi pihak pemandunya jika didapati bersalah kerana melanggar undang-undang.
"Untuk makluman semua, hakikatnya perkara ini berlaku sewaktu saya sedang dalam perjalanan untuk menghadiri program rasmi di Ipoh, pemandu kenderaan rasmi saya telah sedar bahawa terdapat sebuah ambulans swasta mengekori kenderaan saya untuk ke lokasi kemalangan.
"Bagi memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan, pemandu saya telah memberi laluan kepada ambulans tersebut. Memandangkan keadaan jalan raya yang sesak, pemandu saya terpaksa mengekori ambulan tersebut sementara mencari ruang untuk meneruskan perjalanan ke Ipoh setelah kereta ambulans sudah beredar.
"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah berniat untuk melanggari undang-undang dan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada Khamis memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan pemandu kepada seorang menteri susulan hantaran tular di media sosial melibatkan kenderaan rasmi menteri yang didakwa mengekori ambulans.
Insiden itu berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan ke lokasi kemalangan di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, pada 3 Februari lalu.
Sementaran itu, Kor Ming melalui hantaran sama turut mengakui kesal dengan kesulitan yang berlaku tersebut.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Chong Yew Chuan sebelum ini dilapor meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan identiti menteri berkenaan bagi membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang tanpa 'memilih bulu' dan memelihara nama baik kerajaan.
Menurutnya, insiden yang berlaku sewaktu kejadian kemalangan berkenaan tular di media sosial dan menerima perhatian serta kecaman orang ramai.
Sumber: Sinar Harian
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar