Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

“Keputusan Ini Amat Berat Kerana…”- Puteri Gunung Ledang The Musical Ditangguh 2021

Syafiqah Jalal 10/06/2020 | 01:35 MYT
Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) yang sepatutnya dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 Julai ini, ditangguh tahun hadapan berikutan COVID-19.

Ketua Pencetus Impian Kumpuan Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, keputusan menangguhkan PGLM amat berat namun terpaksa akur demi keselamatan kru dan pelakon.

"Saya bekerja keras untuk mengembalikan semula kegemilangan PGLM, jadi tentulah keputusan menangguhkan pementasan ini sesuatu yang amat berat untuk dilakukan.

"Bagaimanapun, saya harus mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan pelakon, pasukan produksi dan penonton yang menjadi keutamaan kami.

"Selain itu, saya juga harus akur dengan dengan arahan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Tiara berkata, persiapan PGLM telah pun dilakukan sejak Disember lalu malah semua pelakon sudah bersedia dengan watak masing-masing namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia agak terbantut memandang mereka memerlukan latihan fizikal bersama.

"Pelakon sudah boleh menghafal lagu dan babak dalam pementasan itu. Namun, kami tidak boleh menafikan latihan secara fizikal adalah amat penting sebelum menaiki pentas.

"Kami juga sudah mengenal pasti rekaan set, kandungan digital termasuk pakaian, props dan keperluan teknikal untuk PGLM," katanya.

PGLM yang memasuki musim keempat memenangi lapan trofi pada Anugerah Boh Cameronian 2007 termasuk kategori Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik, Rekaan Bunyi dan Muzik Terbaik.

#Tiara Jacquelina #Puteri Gunung Ledang
;