Bollywood
Kerana Rosak Hubungan Dengan Allah, Aktres Bollywood Zaira Wasim Umum Bersara
Ketika sebilangan besar remaja ghairah mencari peluang untuk membina nama dan pengaruh sebagai artis, lain pula halnya dengan aktres terkenal Bollywood, Zaira Wasim.
Selepas lima tahun bergelar pelakon dalam industri perfileman terbesar dunia itu, dia mengumumkan penarikan diri sebagai anak wayang, lapor Astro Awani.
Alasan Zaira berbuat demikian ialah kerana kehidupan sebagai anak wayang merosakkan hubungannya dengan Allah yang sekali gus membuatkan hidupnya tidak teratur.
Pelakon flem Dangal itu berkata, bergelar anak seni telah mengganggu kehidupannya sebagai seorang Muslim selain mengakui bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri serta memenuhi keperluan industri perfileman India.
"Ia sebuah perjalanan memenatkan, sejak sekian lama jiwa saya sentiasa berkecamuk, hidup ini singkat. Oleh itu, hari ini saya mengambil keputusan secara rasmi untuk bersara dalam arena perfileman," ujar Zaira dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram dan Facebook pada Ahad.
Populariti yang diraih, kata Zaira, 18, tidak langsung menawarkan kegembiraan buatnya.
"Semoga Allah mengurniakan kita hidayah serta petunjuk untuk meredakan setiap keraguan dan kesilapan yang dilakukan selama ini. Diharapkan kita saling membantu antara satu sama lain untuk menjadi Muslim sejati. Semoga Allah membersihkan hati kita daripada sifat munafi dan sombong," katanya.
Dangal yang dibintangi Zaira di samping hero ternama Bollywood, Aamir Khan merupakan filem yang mengupas kisah seorang ahli gusti amatur India yang bercita-cita melihat anak perempuannya menjadi juara gusti.
Filem berkenaan mencatat rekod kutipan tertinggi pada 2016 selain
Zaira merangkul Anugerah Pencapaian Luar Biasa bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak untuk lakonannya dalam filem itu.
Zaira juga baru selesai menamatkan pengambaran filem terbarunya The Sky Is Pink yang turut menampilkan pelakon Priyanka Chopra.
Pengumuman persaraan Zaira turut menarik perhatian ulama terkenal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk dan bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah.
Mufti Menk dan Omar antara yang menyokong keputusan Zaira.
Bahkan, peminat-peminat pelakon itu khususnya masyarakat di negeri kelahirannya, Kashmir memuji tindakan murni yang diambil oleh Zaira.
Dalam masa sama, keputusan Zaira itu turut dikecam oleh netizen dan juga golongan selebriti termasuk Raveena Tandon.
Raveena mengkritik Zaira yang menggunakan alasan agama menjadi punca mengapa dia bersara.
Sumber: Astro Awani