UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Berita

Kes Bunuh Peniaga Wanita COD: Suspek Direman Tujuh Hari

Gempak 15/02/2025 | 12:20 MYT
Seorang lelaki direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh peniaga wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan Khamis lepas.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Terdahulu, polis telah menahan suspek di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada 5.30 pagi tadi.
Turut dirampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat hentakan di bahagian kepala dengan objek keras atau tumpul, dan lemas.
"Orang ramai diminta jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada 13 Feb lepas dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Sumber: Bernama
#wanita #Bunuh #Direman #COD #Peniaga #Kes #Suspek
;