Laman Utama
Kes Farid Kamil, Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan Pendakwaan
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 13 bulan kepada denda RM5,000 terhadap pelakon dan pengarah Farid Kamil kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis.
Pendakwaan menfailkan rayuan itu dalam usaha mengembalikan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Farid Kamil oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang memohon Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk lanjutan masa bagi membolehkan beliau membetulkan notis rayuan yang tidak mengandungi tandatangan ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara. Beliau berkata ia adalah "kecuaian" di pihak pendakwaan.
Hakim Hanipah, yang bersidang bersama dengan Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M.Gunalan kemudiannya menolak rayuan itu.
Terdahulu peguam Farid Kamil, Hisyam Teh Poh Teik membantah permohonan pihak pendakwaan dengan berkata timbalan pendaftar telah memaklumkan pihak pendakwaan sebanyak tiga kali mengenai kecacatan dalam notis rayuan, tetapi mereka hanya memfailkan permohonan lanjutan masa pada Mei tahun ini, yakni kelewatan selama lima bulan.
Hisyam yang dibantu peguam bersama Kee Wei Lon menggesa mahkamah membatalkan rayuan pihak pendakwaan kerana rayuan di mahkamah itu tidak wajar.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, denda RM5,000 yang dikenakan terhadap Farid Kamil oleh Mahkamah Tinggi kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin untuk menghalang anggota polis itu daripada menjalankan tugasnya, kekal.
Farid Kamil didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret pada 2 Jun 2020 kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis itu dan satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap anggota polis yang sama di kaunter pertanyaan balai polis trafik Kota Damansara pada 1.20 tengah hari pada 11 Jan 2018.
Aktor itu dijatuhi hukuman penjara 13 bulan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Bagaimanapun berikutan rayuan pelakon itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Ogos 2021 telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000, manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.
Pada 5 Jan lepas Farid Kamil gagal mendapatkan kebenaran merayu terhadap sabitan dan hukuman denda RM5,500 yang dikenakan terhadapnya bagi kedua-dua kesalahan itu.
Pada hari yang sama pihak pendakwaan juga gagal dalam permohonan mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman, menyebabkan pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara empat bulan kepada denda RM500 bagi kesalahan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan.
Sumber: Bernama