Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Kes Langgar SOP Neelofa & PU Riz Ditunda Sekali Lagi

Awani 15/07/2021 | 01:07 MYT
Sebutan semula kes selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dijadualkan berlangsung hari ini, ditunda sekali lagi ke 12 Ogos depan.
Peguam pasangan itu, Haresh Mahadevan berkata, sebutan kes itu terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuat kuasa di Seremban.
“Mahkamah telah menangguhkan tarikh pengurusan kes ini pada 12 Ogos depan atas alasan PKPD masih dikuatkuasakan di Seremban,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tarikh asal pengurusan kes Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau dikenali sebagai PU Riz itu, adalah pada 23 Jun, sebelum ditangguhkan kepada 15 Julai disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.
Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Foto/Sumber: Awani
#Neelofa #Mahkamah #PU Riz #PKPD #Langgar SOP
;