Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Kes Zayn Rayyan: Nama Kekal Dalam Kertas Pertuduhan

Awani 18/09/2024 | 04:43 MYT

Nama Zayn Rayyan Abdul Matiin dikekalkan dalam kertas pertuduhan yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Menurut Hakim Dr Syahliza Warnoh, ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh berkata, pendakwaan tidak akan meminda nama Zayn Rayyan untuk berbinkan Zaim Ikhwan.

Ini kerana, jelasnya, peguam yang mewakili ibu bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari, 29 tahun, dan Ismanira Abdul Manaf, 29 tahun, hanya membuat permohonan pindaan nama itu secara lisan, semasa prosiding terdahulu.

“Susulan itu, kami berharap mahkamah menolak permohonan berkenaan dan mengekalkan nama tersebut pada kertas pertuduhan,” katanya ketika sebutan kes hari ini.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Sumber: Awani

#Mahkamah #Kes #Pertuduhan #Zayn Rayyan
;