Berita

Khabib Bakal Menemui Peminat Di Malaysia Bulan Depan

Asyraf Roslan
28/08/2024
13:25 MYT
Sponsor Banner
Khabib Bakal Menemui Peminat Di Malaysia Bulan Depan
Legenda seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov mengumumkan akan menemui peminat-peminatnya di Malaysia pada 29 September depan di ibu negara.
Selain Kuala Lumpur, bekas juara lightweight UFC itu turut akan bertemu peminat di Jakarta, Indonesia pada 5 Oktober.

"Saya sangat teruja untuk mengumumkan, bahawa saya akan bertemu peminat saya dari Malaysia dan Indonesia tidak lama lagi. Jumpa anda di sana," katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Pengumuman oleh Khabib itu mendapat sambutan dalam kalangan peminat di Malaysia termasuk petarung sensasi Muay Thai negara, Johan Ghazali, dan juga penyanyi dan pelakon, Alif Satar yang dilihat mengisi ruangan komen tersebut.
Khabib, 35, yang masih diingati kerana rekod cemerlang tanpa kalahnya 29-0 dalam UFC, telah bersara dari gelanggang MMA pada 2020.
Jaguh kelahiran Dagestan, Rusia itu mengumumkan persaraan dari sukan tersebut sejurus selepas kemenangannya ke atas Justin Gaethje dari Amerika Syarikat dalam pertarungan kejuaraan lightweight.
Meskipun sudah bersara, aura dan pengaruhnya dalam dunia MMA masih kuat dan beliau terus mendapat perhatian ramai.
Antara pertarungan yang paling mendapat perhatian ialah pertarungannya dengan bintang UFC dari Ireland, Conor MgGregor pada 2018.
Khabib juga masih aktif melatih serta menjadi ‘corner’ untuk petarung-petarung muda lain seperti sepupunya Umar dan Usman Nurmagomedov, dan juara lightweight UFC, Islam Makhachev.
Sumber: Astro AWANI
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar