Laman Utama
Khai Bahar Terima Lamaran Aina Abdul – “Perigi Cari Timba? Not A Big Deal!”
Khai Bahar tidak menunggu lama untuk menerima lamaran Aina Abdul untuk berduet dalam lagu Nafas Cinta.
Berkongsi mengenai kerjasama yang terjalin, menurut Aina ia tercetus selepas mereka berduet dengan menyanyikan semula lagu Just Give Me A Reason dan ditayangkan di saluran YouTube masing-masing.
“Saya memang jarang ada ‘contact’ dengan penyanyi lain. Apabila Khai sudi buat ‘cover’ di YouTube, saya sangat gembira. Tidak menjangka pula duet kami itu mendapat maklum balas sangat baik daripada peminat kami.
“Kemudian, Khai menjemput saya untuk menyanyi dengannya pada Konsert Minggu Ini Bersama Khai Bahar di RTM. Ketika itu, saya cakap pada pengurus, alang-alang sudah berkenalan kita boleh buat satu lagu. Jadi, saya dan pengurus ‘approach’ pihak Khai dan dia pun okay.
“Saya terus buat melodi lagu Nafas Cinta dan Khai pun berikan input untuk melengkapkan lagu ini. Jadi, melodi dan lirik lagu ini kami hasilkan bersama,” katanya.
Menurut Aina, 27, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, lagu Nafas Cinta dicipta khas bagi memberikan nafas baru dalam muzik mereka berdua.
Lagu ini ditujukan buat pasangan yang sedang ingin bercinta sehingga melangkah ke alam perkahwinan.
“Lagu ini sangat mencabar, cuma bunyi kedengaran santai. Dari segi kekuatan vokal masih ditonjolkan, tapi kami berbincang dan bersetuju untuk ketengahkan emosi dan perasaan yang relaks dan santai.
“Mesej lagu Nafas Cinta ini sangat berbeza dengan lagu lain yang saya tulis. Lagu ini lebih ‘muda’ dan menyasarkan golongan remaja. Jadi, disebabkan itu saya sangat berharap lagu ini diterima baik dan dekat dengan mereka.
“Secara tidak langsung, apabila mendengar lagu ini mereka akan tersenyum dan gembira selain mengimbas kisah cinta mereka. Sebab ini bukan lagu berat macam sebelumnya. Pendek kata, ‘feel’ lagu sangat romantis dan ‘sweet’,” katanya.
Aina berkata, proses menghasilkan Nafas Cinta dipermudahkan walaupun proses rakaman dijalankan di Seremban, Negeri Sembilan.
“Bagi mencipta keserasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk buat proses rakaman. Pertama, Khai datang rakam demo dulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi dan maksud lagu. Kali kedua baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia ambil masa juga.
“Tapi, Khai sangat membantu dan dia sangat menyokong. Walaupun saya baru, tapi dia sangat merendah diri. Khai tidak kisah kena datang ke Seremban, tapi dia sangat memberikan kerjasama,” katanya.
Sementara itu, Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menyifatkan lagu Nafas Cinta sesuatu yang istimewa buat peminat mereka berdua.
"Macam sebelum ini ramai tertanya-tanya siapa rakan duet terbaru saya. Jadi, apabila projek ini dikongsikan di Instagram, semua tidak sabar menunggu lagu ini. Apa boleh dikatakan, ini adalah adalah hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya kami.
"Saya berharap lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh. Dalam masa sama, semoga duet saya dan Aina boleh membuatkan anda jatuh cinta dengan lagu ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya," katanya.
Nafas Cinta telah dilancarkan serentak dengan video muzik rasmi pada 18 Disember lalu di saluran YouTube Aina Abdul.
Dalam masa sama, Khai mengakui bertuah dapat berduet dengan Aina selain mengagumi bakat besar dimiliki penyanyi lagu Semalam itu.
“Alhamdulillah, perancangan kami untuk menghasilkan projek ini dipermudahkan. Macam sebelum ini saya pernah berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Siti Nordiana. Kali ini, saya bertuah kerana diberi peluang untuk berduet dengan Aina pula.
"Setiap rakan duet saya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk saya memajukan diri. Bagi saya bekerjasama dengan ramai orang membolehkan saya menimba pengalaman baru," katanya.
Lagu Nafas Cinta juga boleh didengari di semua platform muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, Youtube Music, Channel YouTube dan juga Apple Music.