Laman Utama
Khai Sedih Tengok Jemaah Merayu Nak Masuk Masjid – “Ingatkan 2nd Dos Dah Boleh Masuk Macam Mall…”
Penyanyi dan usahawan Khai, kecewa apabila prosedur operasi standard (SOP) untuk bersolat di masjid dan surau masih ketat berbanding pasar raya.
Menafikan dirinya sedang protes atau marah, Khai berkata dia hanya ingin meluahkan rasa kecewa dan sedih dengan situasi tersebut.
Lebih-lebih lagi apabila Khai atau nama sebenarnya Khairul Nizam Mohamad tidak dibenarkan masuk ke masjid untuk mengerjakan solat Jumaat minggu lalu, kerana bilangan jemaah sudah mencapai had.
Selain Khai, beberapa jemaah lain turut merayu agar dibenarkan masuk dengan menyatakan mereka telah lengkap vaksin dua dos.
Menerusi hantaran di Instagram (IG)nya, Khai turut memohon perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung perkara berkenaan.
“Berbeza-beza peraturan kat masjid ni sekarang. Ada siapa cepat boleh masuk dan ada yang kena daftar dulu baru boleh masuk.
“Ingatkan dah 2nd dos boleh masuk macam mall tapi kenapa masjid masih diperketatkan lagi. Limit 100 orang sahaja sedangkan masjid kat Bangi besar juga.
“Please Dato Sri @ismailsabri60 ambil berat isu solat Jumaat ini. Seminggu sekali je bukan hari-hari macam mall. Mall pun takde limit langsung sekarang ni janji dah suntik vaksin.
“Rasanya tempat-tempat lain banyak dah longgar tapi masjid je SOP masih sama. Rakyat Selangor 80% sudah 2nd dos. Apa lagi mau ketatkan?
“Kesian pakcik-pakcik yang datang merayu, ‘saya dah 2nd dos…boleh lah masuk’.
“Saya tak protes atau marah cuma kecewa dan sedih je. Sebab sekarang rasa dah macam tak ada beza hari lain dengan hari Jumaat yang mulia ini,” tulisnya sambil menyebut nama Perdana Menteri di IG.
Pada 8 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan individu lengkap dua vaksin dibenarkan solat di masjid dan surau.
Namun pihak masjid dan surau perlu memastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang selepas selesai solat.
Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat juga mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau, sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu itu sudah menerima vaksinasi lengkap.
Kebenaran itu hanya untuk mereka yang sudah dua minggu atau 14 hari selesai melengkapkan vaksin Sinovac, Pfizer atau AstraZeneca atau selepas 28 hari selesai menerima vaksin satu dos, Johnson & Johnson dan CanSino.