Laman Utama
Khalid Jamlus Jual Daging Salai – “Saya Gunakan Hasil Jualan Barangan Sentimental Untuk Bayar Hutang & Buat Modal…”
Bekas penyerang Harimau Malaya, Khalid Jamlus mengakui menggunakan hasil jualan barangan legasi dan sentimental dalam karier bola sepaknya untuk membayar hutang dan modal berniaga.
"Selepas saya menjual barangan legasi dan sentimental (dalam karier bola sepak) dan selepas tiga tahun tidak berkerja, saya gunakan (hasil penjualan koleksi peribadi) untuk membayar hutang dan buat modal berniaga," katanya.
Khalid Jamlus, kini mengambil inisiatif mengusahakan gerai makan yang menyajikan masakan daging salai masak lemak.
Selain daging salai yang sinonim dengan keluarganya, Khalid turut menyediakan menu seperti set siakap dan ayam goreng kampung.
"Saya memilih menu daging salai sebab ayah dan keluarga orang rumah saya berasal dari Negeri Sembilan," katanya kepada Astro Arena.
Tambah Khalid lagi, walaupun mempunyai beberapa tawaran sebagai jurulatih, dia menolaknya atas faktor peribadi dan kini kembali ke bidang masakan.
Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, Impiannya kini adalah untuk mengukuhkan sebelum melebarkan perniagaannya.
“egalanya bermula selepas saya melintasi sebuah tapak gerai di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Ogos lalu.
"Saya nak masyhurkan tapak ini. Saya nak naikkan suasana kemeriahannya dan menambah cawangan, Insya-Allah,” katanya.
Pada Julai tahun lalu bekas pemain Perak itu menarik perhatian ramai apabila terpaksa melepaskan koleksi kesayangannya sepanjang mengecapi gemilang karier dalam arena bola sepak.
Antara koleksi yang dijual Khalid Jamlus ialah termasuk trofi Kasut Emas yang dimenanginya pada 2002 demi kelangsungan hidup.
Pada September 2020, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli kasut emas Khalid Jamlus.
Baginda membeli kasut berkenaan pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Sultan Sharafuddin juga berkenan untuk meletakkan trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid pada 2002 itu di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di perkarangan Istana Alam Shah.